PUTRA Medical Centre (PMC) Alor Setar, Kedah memperkukuh komitmen terhadap servis komuniti dengan memberi keutamaan kepada pesakit dalaman dan memastikan pesakit sediakala menerima sokongan yang sewajarnya.
Pengarah Strategik PMC, Lee Yong Qian berkata, pihaknya memastikan kesejahteraan pekerja-pekerja yang ramai terkesan banjir di Kedah di samping memastikan pesakit sedia ada menerima rawatan tanpa gangguan.
Beliau berkata, PMC telah menyediakan perkhidmatan bantuan perubatan kepad pekerjanya yang terjejas seperti saringan kesihatan dan pemeriksaan asas kepada 40 hingga 50 pekerja yang terlibat.
“Perkhidmatan ini diberikan secara percuma, menunjukkan dedikasi PMC terhadap kakitangan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yong Qian berkata, kebanyakan kakitangan tidak menunjukkan apa-apa gejala ataupun penyakit serius yang perlu dimasukkan di wad hospital.
Katanya, masalah itu dapat dikurangkan hasil langkah proaktif PMC dengan menyediakan makanan, air bersih dan pembayaran gaji yang dipercepatkan.
Jelas beliau, bantuan termasuk sokongan pengangkutan daripada komuniti setempat dan bekalan makanan oleh PMC turut dilakukan.
Pada masa yang sama PMC turut memastikan pesakit mereka menerima rawatan yang terbaik.
“Fokus kami ialah untuk mengekalkan kualiti penjagaan pesakit hospital semasa banjir, tanpa mengira sama ada mereka terlibat secara langsung ataupun tidak,” kata beliau.
Katanya, ini termasuk pengagihan sumber yang dipertingkatkan bagi memastikan tiada gangguan dalam perkhidmatan.
Sementara itu Pengarah Urusan PMC, Datuk Dr. Lee Gaik Cheng berkata, walaupun berdepan masalah logistik seperti gangguan bekalan air dan halangan pengangkutan, pihaknya berjaya mengagihkan pek bantuan yang mengandungi makanan dan air kepada pekerja dan komuniti setempat.
Katanya, usaha sukarelawan tempatan memainkan peranan penting di kawasan yang dilanda banjir sekali gus menunjukkan kerjasama hospital yang baik semasa krisis.
“Dengan menggabungkan langkah strategik dan simpati. hospital ini terus berfungsi dengan baik dan berkesan untuk Kedah dan kawasan sekitarnya.
“Kami sentiasa bersedia untuk memperluaskan usaha kami seiring dengan situasi semasa,” katanya. – Edisi 9