KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung bagi menghadapi gelombang kedua bencana banjir.
KPM dalam satu kenyataan berkata, ini kerana calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan menghadapi Ujian Amali Sains yang dijadual pada 9, 10 dan 12 Disember.
“Ini penting bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon yang terjejas.
“KPM komited memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga KPM terpelihara dalam menghadapi bencana banjir,” kata kenyataan itu hari ini.
Ini susulan ramalan Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) bahawa hujan berterusan yang dijangka berlaku esok sehingga 11 Disember 2024 di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor yang berkemungkinan mengakibatkan gelombang kedua banjir.
KPM berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diarah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi.
“Semua jawatankuasa diminta melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang sedang berkuat kuasa.
“Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM merangkumi tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas bencana banjir,” katanya.
Sebelum ini, KPM turut mengaktifkan Ops Payung dan pelan tindakan Monsun Timur Laut (MTL) ketika para calon SPM menghadapi Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris SPM minggu lalu.
Seramai 5,377 calon SPM telah terjejas akibat banjir di tiga negeri iaitu Kelantan seramai 3,111 calon, Terengganu (1,734 calon) dan Kedah (532 calon). – Edisi 9