25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

AS pintas peluru berpandu dari Yaman, didakwa dituju ke Israel

Mesti Baca

SEBUAH kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) di Laut Merah menembak jatuh peluru berpandu serta dron yang didakwa dilancarkan oleh kumpulan Huthi yang disokong Iran di Yaman, semalam.

Menurut Pentagon serangan itu berkemungkinan ditujukan kepada Israel.

Jurucakap Pentagon, Brigedier Jeneral Pat Ryder, berkata tiga peluru berpandu pelayaran serangan darat dan beberapa dron berjaya dipintas oleh kapal pemusnah.

“Serangan itu dilancarkan oleh pasukan Huthi di Yaman, dan berpotensi ditujukan ke sasaran di Israel,” dakwanya.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika kapal terbabit, USS Carney sedang melakukan rondaan di Laut Merah sebagai sebahagian daripada tindakan memperkukuh kehadiran tentera AS atas arahan Presiden Joe Biden dengan alasan bagi mengekalkan kestabilan susulan konflik terbaru Israel-Hamas di Semenanjung Gaza.

Ryder berkata, peluru berpandu itu dilancarkan dari Yaman di mana kumpulan Huthi sokongan Iran sedang berperang dengan kerajaan yang disokong pakatan diketuai Arab Saudi.

Beliau berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku pada pihak AS, manakala peluru berpandu yang dipintas itu berkemungkinan besar jatuh ke perairan terbuka dan bukannya darat.

Advertisements

“Kami tidak dapat menyatakan secara pasti berhubung sasaran peluru berpandu terbabit, namun ia dilancarkan dari Yaman menuju ke arah utara di sepanjang Laut Merah.

“Tindak balas defensif kami itu adalah sebagaimana yang akan kami ambil terhadap sebarang ancaman serupa di rantau itu.

“Kami mempunyai keupayaan untuk mempertahankan kepentingan kami di rantau itu, serta menghalang peningkatan ketegangan serantau dan peluasan konflik Israel-Hamas,” katanya.

Biden telah mengarahkan penambahan aset udara dan laut, termasuk menghantar dua kapal pengangkut pesawat, ke Asia Barat sebagai langkah pengawasan susulan pergolakan terbaru kini.

Sementara itu di Anbar, Iraq, semalam, serangan roket dan dron dilancarkan ke atas pangkalan tentera Ain al-Asad yang menempatkan pasukan AS serta antarabangsa lain di barat negara berkenaan, di mana beberapa bunyi letupan kuat kedengaran, menurut sumber.

Selain itu, serangan roket juga mengenai sebuah lagi pangkalan tentera yang menempatkan pasukan AS berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, kata polis Iraq tanpa memberikan butiran lanjut, semalam.

Sebelum ini, kumpulan pejuang di Iraq memberi amaran supaya Washington tidak campur tangan memberi dukungan kepada Israel untuk menentang Hamas di Gaza. -Agensi

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan