26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

20,000 murid dapat tajaan makan tengah hari seimbang

Mesti Baca

HAMPIR 20,000 murid kurang berkemampuan dari 93 sekolah rendah di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, menerima bantuan berbentuk tajaan makan tengah hari seimbang menerusi Program Makanan Kesihatan (PROMAK) sejak Januari 2022.

PROMAK adalah program kerjasama strategik di antara sektor korporat dan agensi kerajaan, menyaksikan PadiBeras Nasional Bhd (BERNAS) bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kerjasama berkenaan bagi menggerakkan agenda nasional dalam menangani isu malnutrisi dalam kalangan murid sekolah rendah di negara ini.

Menerusi usaha bersepadu itu, hampir empat juta hidangan tengah hari telah dinikmati oleh murid dari sekolah berkenaan.

BERNAS memaklumkan, sejak setahun pelaksanaan, data dikumpul daripada Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) bagi pelajar sekolah terbabit dalam PROMAK memperlihatkan impak positif.

“Impak positif dapat dilihat ke atas berat, ketinggian dan kehadiran murid sejak program diperkenalkan.

“Selain tertumpu kepada aspek kesihatan, pendidikan dan pembangunan sosial kanak-kanak, PROMAK turut membantu mengurangkan perbelanjaan makanan isi rumah.

“Ia juga meningkatkan pendapatan boleh guna khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Selasa lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melancarkan program yang baru setahun diperkenalkan itu, selain menganjurkan program PROMAK Riang Ria Nutri, yang julung kali diadakan sebagai inisiatif tambah nilai di bawah PROMAK.

Program sehari yang berlangsung di Kedah itu memberi peluang BERNAS menyantuni 500 murid dari 24 sekolah di negeri berkenaan, di samping memberi pendedahan tentang pemakanan sihat.

Advertisements

BERNAS berkata, selain menawarkan bantuan makanan seimbang, syarikat itu turut berusaha membentuk satu platform bimbingan secara berterusan sebagai inisiatif ke arah gaya hidup sihat lestari.

“Ia bagi mendedahkan kanak-kanak dengan ilmu dan kesedaran berhubung kepentingan nutrisi makanan serta amalan pemakanan yang baik,” katanya.

Pengerusi BERNAS, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata PROMAK bertujuan memupuk budaya pemakanan sihat dari usia awal.

“Akses kepada makanan seimbang dan bernutrisi lengkap di sekolah akan membentuk perkembangan fizikal, mental dan psikologi kanak-kanak yang seterusnya akan membantu mereka lebih bersedia untuk pembelajaran,” katanya.

BERNAS  berkata, sebagai organisasi korporat yang mengutamakan keselamatan makanan dan mementingkan kesejahteraan sosial, mereka akan terus mempergiat inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Ia ke arah merealisasikan agenda pembangunan masyarakat secara amnya serta melahirkan generasi pelapis cemerlang,” katanya.

Beliau berkata, menerusi PROMAK, Bernas turut menyokong hasrat kerajaan dalam memastikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 di bawah Matlamat 2.2 (menamatkan semua bentuk malnutrisi) tercapai.

“Malaysia memerlukan banyak usaha untuk dilaksanakan dalam matlamat SDG ini agar kemampanan negara dapat dicapai memandangkan kemajuan agak perlahan dalam SDG 2.

“Justeru, agenda perubahan ini perlu dipandang serius. BERNAS turut menyahut seruan ini dengan memperkenalkan program PROMAK dalam memastikan kepentingan semua lapisan masyarakat dijaga bermula dari kanak-kanak dan murid sekolah,” katanya lagi. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan