28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Senior mengaku salah pukul pelajar guna batang penyapu

Mesti Baca

DUA pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di daerah Muar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan memukul junior menggunakan penyangkut baju dan batang penyapu kerana didakwa membawa rokok elektronik atau vape, Julai lalu.

Kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh juvana itu didakwa mendatangkan kecederaan terhadap mangsa berusia 15 tahun di dalam asrama, jam 11.25 malam, 3 Julai lalu.

Kejadian berlaku apabila kedua-dua tertuduh menemukan rokok elektronik pada mangsa sebelum memukul mangsa menggunakan penyangkut baju dan batang penyapu.

Tindakan tertuduh menyebabkan mangsa cedera di beberapa anggota badan sebelum dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Johor.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Advertisements

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM2,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh ditemani ahli keluarga dan kemudian merayu supaya jaminan dikurangkan kerana mereka bukan dalam kalangan keluarga berada.

Mahkamah kemudian mengarahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1,000 setiap seorang dan hanya membenarkan penjamin terdiri ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Mahkamah turut menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kes serta serahan laporan akhlak. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan