28.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Saham Apple merosot akibat kebimbangan China, persaingan Huawei

Mesti Baca

SEKATAN meluas China terhadap penggunaan iPhone dalam kalangan kakitangan kerajaannya meningkatkan penjualan saham teknologi hari ini.

Ia berikutan timbul kebimbangan Apple dan pembekalnya bakal menerima kesan daripada peningkatan ketegangan China-Amerika Syarikat (AS) dan persaingan yang semakin meningkat daripada Huawei.

Saham Apple jatuh 6.4 peratus dalam tempoh dua hari, menghapuskan AS$190 bilion (RM888.44 bilion) daripada modal pasaran selepas Beijing mengarahkan beberapa kakitangan kerajaan pusat sejak beberapa minggu kebelakangan ini untuk berhenti menggunakan iPhone di tempat kerja.

Tindakan itu menambah tekanan untuk Apple di salah satu pasaran terbesarnya, manakala Huawei melancarkan dua telefon pintar baharu – boleh lipat, Mate X5, dan Mate 60 Pro+, model baharu yang menarik perhatian global untuk mempamerkan daya tahan terhadap sekatan AS.

Di Taipei, pembekal Apple, Largan Precision, yang membuat kanta kamera, jatuh lebih empat peratus manakala pembuat cip kontrak TSMC jatuh 0.6 peratus, hari ini.

Luxshare Precision Industry China, pembuat kabel penyambung untuk iPhone dan MacBook serta AirPods manakala pemilik kilang yang mampu membuat iPhone, jatuh dua peratus.

Saham mereka turut terjejas minggu lalu oleh pelancaran Huawei.

Setakat ini, sekatan China ke atas iPhone masih belum jelas, namun seorang pekerja sebuah perusahaan milik negara (SOE) di ibu negara berkata mereka turut meluaskan larangan itu kepada pelawat.

“Sesiapa sahaja, termasuk pelawat perniagaan, yang memasuki kawasan kerja kami tidak boleh membawa masuk iPhone mereka,” menurut seorang sumber.

Advertisements

Malah, seorang daripada dua pekerja SOE memaklumkan mereka dimaklumkan mengenai larangan itu dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Katanya, syarikat memberi subsidi kepada pekerja antara AS$13 hingga AS$26 (RM60 hingga RM121) untuk beralih kepada jenama tempatan.

Walaupun bilangan kakitangan kerajaan pusat tidak diketahui, Bank of America menganggarkan larangan sedemikian boleh mengurangkan jualan iPhone sebanyak 5 juta hingga 10 juta unit setahun daripada jumlah tahunan China iaitu 50 juta.

Penganalisis di TF International Securities, Ming-Chi Kuo, berkata, jualan telefon pintar Huawei yang didorong oleh model Mate 60 Pro baharu, melonjak 65 peratus tahun ini kepada 38 juta.

Penganalisis Canalys, Nicole Peng berkata Huawei turut memberikan ancaman yang lebih besar kepada rakan domestik, seperti Honor.

Beberapa penganalisis Wall Street berkata sekatan itu menunjukkan bahawa sebuah syarikat yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan dan kehadiran dalam ekonomi kedua terbesar dunia juga tidak terlepas daripada peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara.

Pergeseran itu menjadi bertambah buruk apabila Washington cuba mengehadkan akses China kepada kemajuan utama, termasuk teknologi cip termaju dan Beijing mengurangkan kebergantungan kepada teknologi AS.

Kelmarin, Jabatan Perdagangan AS berkata, pihaknya sedang mencari maklumat lanjut mengenai “watak dan komposisi” cip Huawei baharu yang dikatakan mungkin melanggar sekatan perdagangan. -Agensi

Advertisements

Terkini

Maritim Malaysia tambah aset, bakal miliki empat helikopter AW189

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal memiliki empat buah helikopter jenis Agusta Westland AW189 ‘medium lift’ menerusi satu...

Lagi Artikel Berkaitan