31.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

PLUS dinobat pemenang Inovasi Terbaik IQPC 2023

Mesti Baca

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diumumkan sebagai pemenang kategori Inovasi Terbaik pada Konvensyen Kualiti dan Produktiviti Antarabangsa (IQPC) 2023, kelmarin.

Syarikat konsesi kerajaan itu dinobatkan pemenang kategori berkenaan menerusi kumpulan GTRP yang mengetengahkan inisiatif pemantauan kerosakan cerun secara automatik.

PLUS berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Sistem Pengesanan Kecacatan Aset Lebuhraya Secara Automatik yang akan dibangunkan secara berfasa.

Katanya, penyertaan tiga kumpulan daripada PLUS ke IQPC itu turut merekodkan penjimatan keseluruhan bernilai RM5.2 juta.

“Inisiatif ini bertujuan memudahkan pemantauan ke atas 6,870 cerun di sepanjang Leburaya PLUS dengan 59 daripada jumlah cerun berkenaan dikategorikan sebagai kritikal.

“Ia juga bagi memastikan keselamatan pengguna, selari matlamat jenama kami untuk ‘menjaga anda sepanjang perjalanan.

“Faedah utama daripada inisiatif ini adalah penjimatan kos bagi kerja pemantauan, masing-masing sebanyak RM1.4 juta setahun dan pengurangan masa perolehan data kerosakan cerun dari 14 kepada tiga hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Advertisements

IQPC adalah konvensyen tahunan anjuran Persatuan Pengurusan Produktiviti dan Kualiti Antarabangsa (IQPMA) dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Kualiti dan Produktiviti Indonesia (AMMPI), Wahana Kendali Mutu (WKM) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Bertemakan ‘Meningkatkan Produktiviti melalui Kreativiti dan Inovasi’ konvensyen selama tiga hari itu turut mempamerkan pelbagai inovasi daripada 400 peserta dari tujuh negara, bertujuan meningkatkan kualiti dan produktiviti masing-masing.

Konvensyen yang bertujuan memperkasa organisasi dan negara itu membabitkan penyertaan pelbagai pihak industri, institusi pendidikan serta syarikat berkaitan kerajaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sementara itu, PLUS berkata, projek dibangunkan kumpulan berkenaan secara purata siap sepenuhnya antara satu hingga dua tahun, sebelum diselaraskan dengan persiapan selama tiga bulan sebelum menyertai IQPC.

PLUS juga berharap untuk kekal berinovasi dan meningkatkan produktiviti syarikat melalui platform disediakan agensi kerajaan dan pertubuhan produktiviti di Malaysia dan antarabangsa.

“Jabatan berkaitan juga bertugas menyusun program bersesuaian, antaranya sesi ‘coaching’ dan latihan bagi kumpulan membuat persiapan lanjut agar dapat melakukan yang terbaik semasa konvensyen berlangsung.

“Antara cabaran dihadapi ialah setiap kumpulan perlu menyediakan laporan bertepatan dengan kriteria konvensyen, persiapan ahli bagi pembentangan, selain melaksanakan perkongsian budaya antara peserta luar negara,” katanya. -Edisi 9

 

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan