25.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 27, 2023

Piala Asia B23: Harimau Muda menang bergaya di Bangkok

Menewaskan skuad B23 Filipina untuk mendahului Kumpulan H dengan enam mata daripada dua perlawanan.

Mesti Baca

SKUAD Malaysia bawah 23 tahun (B-23) beraksi cemerlang apabila mencatat kemenangan bergaya ke atas Filipina 4-0 pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Chonburi, Thailand hari ini.

Ketua jurulatih, E. Elavarasan menurunkan barisan terkuat pada perlawanan tersebut termasuk penampilan dua pemain yang berpengkalan dari luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine.

Tidak sampai seminit perlawanan bermula, kenduri gol dibuka apabila pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal menyudahkan hantaran cantik Fergus Tierney dari sebelah kanan.

Jaringan itu menyuntik semangat pemain untuk terus mengandakan asakan dan 5 minit kemudian, giliran T. Saravanan menjaringkan gol kedua hasil umpanan Luqman Hakim dari sebelah kiri.

Pada minit ke-23, Harith mencatat nama sebagai penjaring apabila merembat masuk gol ketiga dari luar kotak penalti yang mudah menewaskan penjaga gol Filipina, Dimitrios Macapagal.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun babak kedua menyaksikan Elavarasan membuat pertukaran pemain dengan mengeluarkan Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim digantikan kepada Najmuddin Akmal serta Aiman Afif.

Pada minit ke-61, Saravanan sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring selepas menambah gol keempat dalam situasi kelam kabut di kawasan kotak penalti.

Kemenangan tersebut meletakkan Malaysia di tangga teratas kumpulan H setakat ini selepas mengutip 6 mata serta memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol.

Selepas ini, skuad Harimau Muda berdepan tugas sukar apabila menentang tuan rumah, Thailand pada Selasa ini di stadium sama.

Hanya juara kumpulan bersama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik sahaja akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar, tahun depan. – Edisi 9

Terkini

Nafi sos cili peket dicaj, McDonald’s buat laporan polis

MCDONALD’S Malaysia membuat laporan polis berhubung dakwaan pekerjanya mengenakan caj sos cili peket kepada pelanggan sepertimana tular baru-baru ini. McDonald’s Malaysia berkata,...

Lagi Artikel Berkaitan