28.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, February 15, 2025

McDonald’s tawar pengajian diploma kepada 18 alumni perantis

Mesti Baca

MCDONALD’S Malaysia buat julung kalinya menawarkan program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM Tahap 4) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM Tahap 5) kepada 18 alumni Program Perantis Vokasional McDonald’s.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata kesemua mereka yang kini bekerja sebagai pengurus cawangan restoran makanan segera itu mendapat tawaran itu bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perkhidmatan makanan.

Beliau berkata, program diploma yang akan bermula tahun depan itu ditanggung sepenuhnya oleh McDonald’s dan kualiti pendidikan yang diberi adalah setanding dengan pengajian diploma yang ditawarkan oleh kolej serta universiti tempatan lain.

“Kita mengharapkan pada masa akan datang sekurang-kurangnya lima hingga 10 peratus alumni ini berminat untuk menyambung pengajian mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s kali Ke-4 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, seramai 427 graduan yang berjaya menamatkan latihan di bawah Program Perantis Vokasional McDonald’s menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, dan kini boleh memilih untuk bekerja di McDonald’s atau mana-mana syarikat perkhidmatan makanan di negara ini.

Advertisements

Program Perantis Vokasional McDonald’s yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) berlangsung selama 18 bulan dengan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus pembelajaran teori di dalam kelas.

Azmir berkata, seiring agenda nasional, Program Perantis Vokasional McDonald’s adalah inisiatif syarikat terbabit bagi memperkasakan belia di negara ini, selain mewujudkan tenaga kerja mampan dan berkemahiran tinggi dalam bidang perkhidmatan makanan.

Beliau berkata, McDonald’s memperuntukkan lebih RM10 juta setiap tahun untuk program pembangunan bakat dan kemahiran dan sejak pertama kali diperkenalkan pada 2018, lebih 95 peratus belia yang tamat program perantis itu memilih untuk membina kerjaya di McDonald’s.

Katanya, lebih 4,000 belia telah dan sedang mengikuti program terbabit yang ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s membabitkan yuran pengajian, elaun bulanan, tempat tinggal, makan minum, insurans dan faedah perubatan serta perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), membabitkan sekitar RM40,000 untuk seorang perantis.

Mereka yang berminat menyertai Program Perantis Vokasional McDonald’s, boleh layari bahagian kerjaya menerusi https://www.mcdonalds.com.my/ atau e-mel kepada [email protected]. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Tiga langkah Malaysia pastikan ASEAN kekal bersaing

MALAYSIA selaku Pengerusi ASEAN tahun 2025 perlu melaksanakan tiga langkah utama jika mahu memastikan rantau ini terus kekal bersaing. Pensyarah...

Lagi Artikel Berkaitan