36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

UPSI anjur persidangan pemerkasaan alumni dalam talian

Mesti Baca

MUALIM – Penganjuran Persidangan Pemerkasaan Alumni Anak Kandung Suluh Budiman secara dalam talian baru-baru ini berjaya menarik penyertaan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di seluruh negara, menerusi Pusat Alumni universiti tersebut.

Persidangan yang berlangsung selama tiga jam itu melibatkan pihak universiti dan bekas pelajar dengan membincangkan hala tuju, hubungan strategik antara kedua entiti berkenaan, selain mengukuhkan hubungan dua hala.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, inisiatif ini membolehkan pihak universiti mendengar sendiri pendapat alumni untuk melestarikan perkembangan alumni dan universiti.

“Selain itu, persidangan ini juga memberi peluang kepada alumni untuk menyumbang ke arah pembangunan universiti yang lebih mapan, ” jelasnya ketika berucap pada perasmian persidangan tersebut, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) menjalankan fungsi Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ts Dr Suriani Abu Bakar.

Md Amin yang juga kohort pertama program Sains Sukan sejak penubuhan UPSI pada tahun 1997 berkata, bermula dengan penubuhan jawatankuasa alumni di setiap negeri beberapa bulan lalu, pada hari ini jawatankuasa berkenaan menghantar wakil untuk membentangkan usul kepada pihak universiti.

Beliau memberitahu, usul tersebut merangkumi beberapa aspek termasuk kebajikan, akademik, infrastruktur, kewangan dan data alumni.

Md Amin menambah, menerusi usul tersebut, pihak universiti akan memberi pertimbangan untuk merealisasikan sewajarnya.

“Pihak universiti telah melaksanakan beberapa inisiatif berbentuk faedah seperti, pemotongan yuran pengajian pasca siswazah sebanyak 15 peratus kepada bekas graduan yang melanjutkan pengajian di institusi berkenaan.

“Selain itu, bekas penuntut turut menikmati faedah potongan diskaun kadar sewa penggunaan prasarana universiti, pembelian buku dan produk terbitan universiti. Bukan itu sahaja, pelbagai inisiatif lain turut dijalankan, seperti pelaksanaan program, pengiktirafan, pengurusan data dan penerbitan untuk melestarikan perkembangan alumni,” jelasnya lanjut.

Inisiatif persidangan ini merupakan salah satu daripada petunjuk prestasi utama (KPI) pusat tanggungjawab tersebut di bawah pelan keenam daripada sepuluh indeks iaitu, ‘Merealisasikan Projek Inovasi Alumni’. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan