29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Parlimen berisiko tinggi, KKM nasihat sidang ditangguh

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan supaya sidang Parlimen ditangguh selama dua minggu bermula 29 Julai selepas mengambil kira penilaian risiko semasa bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 di bangunan berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen.

Menurut beliau, ini berikutan dua kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pegawai yang hadir ke Parlimen pada 29 Julai.

“Kes pertama merupakan seorang petugas yang hadir ke Parlimen sejak 26 Julai dan dikesan positif melalui ujian pengesahan RT PCR di sebuah fasiliti kesihatan kerana bergejala batuk.

“Nilai CT atau nilai ambang RT PCR beliau adalah 18.71. Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada jam 12:30 tengah hari menggunakan ujian kendiri RTK antigen (Ag) Saliva kerana gejala batuk dan loya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham Abdullah

Dr Noor Hisham berkata, dengan pengesanan dua kes positif Covid-19 tersebut KKM mengambil keputusan segera untuk menjalankan saringan ujian kendiri RTK Ag Saliva terhadap 1,183 individu di dalam Parlimen dan mendapati sembilan lagi kes positif Covid-19.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 11 kes (seorang RT PCR positif dan 10 orang RTK Ag positif) dengan lima daripadanya bergejala.

“Kesemua 10 kes positif RTK Ag telah diambil swab bagi ujian pengesahan jangkitan Covid-19 menggunakan RT PCR. Lapan kes disahkan positif Covid-19 di mana lima kes mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi (nilai ambang antara 12.67 hingga 18.19).

“Kesemua sampel ini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk dibuat ujian jujukan genom (genomic study) bagi mengenalpasti jenis varian virus SARS-CoV-2,” katanya lagi.

Beliau berkata, daripada lapan kes positif itu, hanya dua kes sahaja yang mempunyai sejarah vaksinasi Covid-19 lengkap (melepasi 14 hari dari tarikh dos ke-2).

“Kesemua kes ini stabil dan diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian untuk menjalani pengasingan di tempat kediaman masing-masing serta dipakaikan gelang tangan pengawasan.

“Setakat ini seramai 48 kontak rapat telah dikenal pasti, namun siasatan dan pengesanan kontak rapat masih lagi diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, kesemua individu yang berada di bangunan Parlimen pada 26 Julai sehingga 29 Julai dinasihatkan untuk memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Penilaian risiko kejadian jangkitan Covid-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham menjelaskan, sebelum sidang bermula pada 26 Julai, beliau mewakili KKM membentangkan Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan penularan wabak Covid-19 di Parlimen.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat serta ketua parti politik dari blok kerajaan dan pembangkang.

Katanya, KKM kemudian mengemukakan dua cadangan iaitu sidang khas Parlimen ditangguhkan sehingga status liputan imunisasi mencapai sekurang-kurangnya 40 peratus di Lembah Klang atau sekiranya diteruskan, jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan bagi mengurangkan tempoh pendedahan.

“Dan sidang Dewan hendaklah dihentikan serta-merta sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dikesan bagi mencegah berlakunya risiko penularan jangkitan di kalangan individu yang hadir di Parlimen dan wakil parti politik memilih pilihan kedua iaitu meneruskan sidang Dewan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan