26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Sistem pertahanan siber negara pada tahap tertinggi – Adly

Mesti Baca

SISTEM pertahanan siber negara berada pada tahap tertinggi dan terkawal daripada serangan siber, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Beliau berkata, kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan keseluruhan sistem komunikasi strategik ATM dalam satu rangkaian terselamat dan tidak mempunyai sambungan dengan rantaian Internet luar.

“Sistem pertahanan negara sentiasa berada pada tahap keselamatan tertinggi dan dikawal selia oleh Pusat Pemantauan Pertahanan Siber, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) ATM.

“Dengan langkah berstrategik, termasuk tiada sambungan rantaian Internet luar, serangan siber ke atas sistem pertahanan negara pada masa ini berada dalam keadaan terkawal,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) peringkat Kementerian Pertahanan di Dewan Negara, hari ini.

ATM menubuhkan Unit Khas Pertahanan Siber bawah Bahagian Staf Perisikan Pertahanan ATM pada 2015, sebagai antara unit yang bertanggungjawab memantau dan menghalang sebarang bentuk pencerobohan terhadap sistem pertahanan negara.

Advertisements

Adly berkata, bagi sistem yang memerlukan sambungan Internet pula, BSEP ATM memantau rapat sebarang aktiviti mencurigakan, sekali gus sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang bentuk kemungkinan serangan siber terkini.

Beliau berkata, pada kebiasaannya, sistem yang memerlukan sambungan Internet luar adalah lebih kepada hal-hal pentadbiran.

Katanya, berhubung usaha menangani serangan siber dalam bentuk pancingan data (phishing) dan serangan perisian (ransomware), kementerian itu telah mengambil beberapa langkah proaktif, termasuk menjalinkan kerjasama dua hala dan pelbagai hala serta perkongsian maklumat ancaman siber dengan negara luar, di samping mewujudkan BSEP ATM.

“Kita juga merancang untuk menubuhkan Pusat Pemerintahan Siber ATM bagi mewujudkan angkatan siber yang berkredibiliti, berteknologi tinggi dan berkepakaran dalam mendepani ancaman global,” katanya. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan