25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Malaysia perlu belajar daripada China untuk lonjak ekonomi

Mesti Baca

MALAYSIA perlu belajar daripada China untuk melonjakkan ekonomi, terutamanya daripada segi inovasi teknologi dan pembuatan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, meskipun kelembapan ekonomi China menjejaskan sektor pembangunan dan pembinaan hartanah, sektor pembuatan dan teknologi negara itu masih mempamerkan prestasi yang sangat baik.

“Melonjakkan ekonomi bermakna anda tidak terus menghasilkan pada tahap yang sama. Anda mesti cuba meningkatkannya menerusi teknologi untuk menghasilkan dengan menggunakan automasi serta membuat perancangan digital.

“Kita perlu melakukannya dengan cara berbeza dan mencapainya pada tahap tertinggi dengan gaji tinggi, produktiviti tinggi dan pertumbuhan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan acara padanan bisnes perniagaan kepada perniagaan Malaysia-China Ke-5 bersempena dengan Ekspo China-Asean Ke-20 (CAEXPO) 2023, hari ini.

Chin Tong berkata, rangka kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga bertujuan untuk melonjakkan ekonomi Malaysia.

Mengenai CAEXPO 2023, beliau berkongsi bahawa Anwar akan menghadiri ekspo berkenaan pada 17 September di Nanning, China dan lawatan itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara serta sebagai persiapan bagi meraikan ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-China.

Sementara itu, pengarah kanan bahagian penggalakan eksport dan akses pasaran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Amran Yem dalam ucapannya berkata, hubungan erat Malaysia dan China bukan sahaja memelihara malahan mendorong trajektori hubungan ekonomi yang kukuh dan dinamik antara kedua-dua negara.

“Ketika ini, hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China berkembang dengan baik dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada 2022 berjumlah hampir RM500 bilion, meningkat 15.6 peratus berbanding 2021.

Advertisements

“Eksport Malaysia melepasi paras RM200 bilion buat pertama kali, berkembang sebanyak 9.4 peratus kepada RM211 bilion dan merupakan nilai tertinggi pernah direkodkan. Begitu juga, import merekodkan hampir RM300 bilion dengan pertumbuhan 20.7 peratus,” katanya.

Selepas hampir tiga tahun sempadan ditutup, tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 CAEXPO dan begitu juga penyertaan Malaysia.

Sejak 2004, penyertaan Malaysia dalam CAEXPO telah berjaya membantu lebih daripada 2,000 syarikat dengan urusan perniagaan terkumpul berjumlah lebih AS$1 bilion, katanya.

Banyak jenama Malaysia telah menyertainya dan malahan mengukuhkan kehadiran mereka di pasaran China melalui penyertaan mereka dalam CAEXPO dan ia menandakan ekspo tersebut sebagai platform penting bagi syarikat Malaysia untuk meneroka lebih jauh ke pasaran China yang amat besar, katanya.

Bagi CAEXPO tahun ini, Amran berkata, MATRADE sedang menyelaraskan sejumlah 107 syarikat Malaysia yang akan mempamerkan pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan bernilai tinggi mereka termasuk penjagaan kesihatan dan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik dan peralatan mandian, minyak sawit sebagai biojisim, makanan dan minuman serta sektor perkhidmatan termasuk perakaunan, reka bentuk dalaman dan pendidikan.

“Bagi mesyuarat B2B tahun ini, ia dijangka menggunakan mod hibrid dengan sesi mesyuarat perniagaan maya bermula hari ini hingga 8 September 2023.

“Mesyuarat perniagaan fizikal akan diadakan dari 16 hingga 19 September sebagai susulan. Dijangkakan lebih 200 mesyuarat perniagaan akan diadakan untuk kedua-dua sesi fizikal dan maya,” katanya. -Bernama

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan