SKUAD Harimau Malaya menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Syria, 2-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium East-Town Football Park, China, petang tadi.
Anak buah Kim Pan Gon ketinggalan seawal minit ke-12 apabila kekalutan di dalam kawasan penalti dimanfaatkan Mardik Mardikian menerusi percubaan deras ke penjuru kanan gawang negara yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi.
Harimau Malaya cuba bangkit dengan mengatur beberapa gerakan berbahaya namun gagal menembusi benteng pertahanan skuad kendalian Hector Cuper itu.
Sebaliknya, Syria yang jarang mencuba memperoleh gol kedua Yassin Samia yang tidak dikawal mudah menanduk masuk sepakan penjuru untuk menjadi kedudukan 2-0 menuju ke bilik persalinan.
Skuad negara kehilangan tonggak pertahanan tengah, Shahrul Saad sebelum rehat apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengalami kecederaan hamstring di pangkal pehanya.
Yassin hampir mencetak gol kedua peribadinya pada minit ke-48 apabila penyerang berusia 25 tahun itu berjaya menanduk sepakan penjuru namun hanya sedikit tersasar ketika Syihan sudah pun tertewas.
Malaysia berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-51 apabila Akhyar Rashid bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan rembatan melepasi penjaga gol Syria, Taha Mosa.
Faisal Halim terlepas peluang keemasan menyamakan kedudukan pada minit ke-56 apabila dia yang tidak dikawal gagal menanduk masuk hantaran Dion Cools di dalam kawasan penalti.
Empat minit berselang menyaksikan tandukan pemain gantian, Darren Lok sedikit melewati palang gol.
Usaha Harimau Malaya mencari gol penyamaan berhasil apabila Lok mudah menolak masuk bola muntah hasil percubaan Safawi Rasid untuk menjadikan kedudukan 2-2. – Edisi 9