E. ELAVARASAN melepaskan jawatannya sebagai jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan hari ini susulan kejayaannya membawa Harimau Muda layak ke Piala Asia 2024 di Qatar, minggu lalu.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, ini kerana jurulatih berusia 61 tahun itu ingin kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.
Katanya, keputusan itu dicapai susulan pertemuan Elavarasan dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin bagi membincangkan hala tuju skuad B-23 kebangsaan selepas aksi pusingan kelayakan lalu.
“Dalam perbincangan dari hati ke hati itu, Hamidin dan Elavarasan telah mencapai kata sepakat dan persetujuan agar beliau kembali fokus kepada tanggungjawabnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Kim Pan Gon dalam skuad senior.
“Ini sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Elavarasan dilantik sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan pada 1 September tahun lalu bagi menggantikan Brad Maloney namun pada masa sama, masih memegang jawatan sebagai pembantu kepada Pan Gon.
Pelantikan Elavarasan dibuat kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan Gon, sekali gus memudahkan proses kesinambungan untuk skuad senior dan skuad B-23 negara itu.
Di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu namun gagal melepasi peringkat kumpulan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Bekas pengendali Melaka United itu membawa Harimau Muda layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 dan Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.
Sementara itu, Noor Azman berkata, FAM masih meneliti calon yang benar-benar layak bagi menjadi pengganti Elavarasan.
“Pengganti Elavarasan hanya akan diumum selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat serta kata putus yang akan dicapai nanti,” katanya. – Edisi 9