28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

China, Kemboja mantapkan bekalan makanan, perindustrian

Mesti Baca

PRESIDEN China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet yang dalam rangka lawatan rasmi di Beijing, hari ini.

Xi menyifatkan keputusan Hun Manet memilih China sebagai negara pertama yang menjadi destinasi lawatannya selepas menyandang jawatan Perdana Menteri, memperlihatkan pentingnya ikatan persahabatan dua negara bagi pentadbiran baharu Kemboja.

Beliau berkata, kedua-dua pihak harus memanfaatkan mekanisme jawatankuasa penyelaras di antara kerajaan dan memastikan pelan tindakan baharu mengenai pembinaan komuniti berkongsi nasib dilaksanakan dengan baik.

“Rangka kerjasama ‘intan enam sisi’ perlu disempurnakan, manakala usaha sama dalam membina koridor pembangunan perindustrian dan koridor limpahan ikan dan beras terus dipergiat.

“Kami bersedia menjalankan kerjasama penguatkuasaan undang-undang secara berkala dengan pihak Kemboja dalam usaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan seperti penipuan dalam talian,” kata Xi.

Advertisements

Presiden itu mahu melihat aktiviti Tahun Persahabatan China-Kemboja diadakan dengan jayanya dan kerjasama membabitkan belia, pendidikan, pelancongan dan perubatan terus diperluas.

Beliau turut meluahkan hasrat ingin bersinergi dengan Kemboja ke arah memantapkan pembinaan masyarakat berkongsi nasib sesama negara, di samping bersama-sama mempertahan keadilan antarabangsa serta kepentingan sah negara membangun.

Sementara itu, Hun Manet menyatakan kesediaan Kemboja untuk memperkasa kerjasama berorientasi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), serta kerjasama di bawah rangka intan enam sisi yang melibatkan perindustrian, pertanian, pelaburan, sosiobudaya dan lain-lain.

“Pihak kami sudi mempererat penyelarasan dengan China dalam urusan rantau dan antarabangsa sekali gus melonjakkan hubungan dua hala ke tahap baharu,” katanya. -Agensi

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan