Monday, July 20, 2026

Malaysia sumbang RM423,000 untuk Tabung Bencana ASEAN

Ini memastikan AHA Centre terus berperanan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang cepat, berkesan dan berasaskan keperluan - Zahid Hamidi

Mesti Baca

MALAYSIA terus menzahirkan komitmen terhadap agenda ketahanan serantau apabila mengumumkan sumbangan one-off berjumlah USD100,000 (kira-kira RM423,000) kepada Tabung Pengurusan Bencana dan Bantuan Kecemasan ASEAN (ADMER Fund).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumbangan tersebut mencerminkan semangat solidariti Malaysia bersama negara-negara anggota ASEAN dalam memastikan mekanisme bantuan kemanusiaan serantau terus diperkasa dan mampu bertindak pantas ketika berdepan bencana.

“Sumbangan ini menzahirkan tanggungjawab bersama untuk memastikan AHA Centre terus berperanan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang cepat, berkesan dan berasaskan keperluan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berucap mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-13 dan Persidangan Pihak-Pihak kepada AADMER (COP-AADMER) Ke-14, di Phnom Penh, Kemboja hari ini.

Beliau menegaskan, komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 adalah untuk memperkukuh keupayaan kolektif rantau ini dalam pengurusan bencana dan tindak balas kemanusiaan berpandukan prinsip “One ASEAN, One Response.”

Para menteri ASEAN bergambar bersama selepas mesyuarat.

Beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap peranan aktif Malaysia dalam inisiatif serantau, antaranya menjadi tuan rumah gudang serantau DELSA di Subang, menyokong latihan dan penugasan pasukan ASEAN-ERAT, serta memperjuangkan penubuhan Pasukan Sedia Siaga Ketenteraan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dan Tindakan Bencana (AMRG on HADR).

Tambah beliau, tindakan pantas dan penyelarasan kukuh antara negara anggota ASEAN dalam menangani bencana gempa bumi di Myanmar awal tahun ini jelas membuktikan semangat perpaduan dan kerjasama di bawah kerangka AADMER yang kini genap 20 tahun.

“Malaysia yakin semangat kerjasama ini akan menggalakkan semua negara anggota dan rakan serantau untuk terus memperkukuh Tabung ADMER sebagai tonggak kesiapsiagaan dan tindak balas bencana ASEAN,” ujarnya.

Menurut Ahmad Zahid lagi, Malaysia mahu melihat ASEAN menerajui kepimpinan global dalam bidang ketahanan bencana melalui pendekatan inovatif, inklusif dan berteraskan rakyat.

“Insya-Allah, ASEAN akan terus membina sistem yang mampu menyelamatkan nyawa, mengurangkan penderitaan serta melindungi sumber kehidupan buat generasi akan datang,” katanya. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan