Sunday, July 19, 2026

Perdim kecewa kerajaan kekalkan kadar fi konsultasi RM10

Kadar minimum RM10 ini langsung tidak mencerminkan nilai sebenar khidmat profesional pengamal perubatan swasta yang berdepan kos operasi semakin meningkat saban tahun - Dr Boi Saidi

Mesti Baca

PERSATUAN Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) kecewa terhadap keputusan kerajaan mengekalkan kadar minimum bayaran konsultasi (fi) pengamal perubatan swasta pada kadar RM10 walaupun berlaku semakan semula kadar maksimum kepada RM80 sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Presiden Perdim, Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan menaikkan kadar fi konsultasi daripada julat lama RM10 hingga RM35 kepada kadar baharu RM10 hingga RM80 selepas lebih 18 tahun tidak disemak.

Namun katanya, keputusan mengekalkan kadar minimum RM10 jelas menunjukkan kerajaan gagal memahami peranan besar klinik swasta sebagai pemegang taruh utama dalam sistem penjagaan kesihatan primer negara.

“Kadar minimum RM10 ini langsung tidak mencerminkan nilai sebenar khidmat profesional pengamal perubatan swasta yang berdepan kos operasi semakin meningkat saban tahun.

“Perdim berpandangan kadar minimum sewajarnya ditetapkan pada RM50 bagi memastikan kelangsungan klinik swasta yang turut membantu meringankan beban sistem kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Klinik swasta main peranan besar sebagai barisan hadapan kesihatan primer. – Gambar hiasan

Menurut beliau, kerajaan wajar meneliti semula kadar tersebut dengan mengambil kira perbandingan serantau, di mana kadar minimum perundingan di Indonesia ialah sekitar RM30 manakala di Singapura mencecah RM105.

Dr. Boi Saidi turut memuji langkah kerajaan memperuntukkan RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Belanjawan 2026 iaitu peruntukan terbesar dalam sejarah kementerian itu yang meningkat sebanyak 29.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, dasar kadar fi yang tidak selaras dengan realiti semasa boleh menjejaskan motivasi dan kelangsungan pengamal perubatan swasta untuk terus berkhidmat di peringkat akar umbi.

“Dengan peranan besar klinik swasta sebagai barisan hadapan kesihatan primer, kerajaan perlu lebih memahami cabaran yang dihadapi pengamal perubatan dan memastikan dasar yang digubal benar-benar adil serta mampan,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan