HUKUMAN rotan di sekolah sebenarnya tidak pernah dimansuhkan sejak tahun 1954, sebaliknya hanya tertakluk kepada prosedur pelaksanaan yang ketat.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kuasa merotan hanya boleh dijalankan oleh pengetua atau guru besar dan perlu dilakukan secara tertutup, bukan untuk tontonan awam.
“Tujuan rotan adalah untuk mendidik, bukan untuk menyakitkan. Ia juga mesti menjadi langkah terakhir selepas semua bentuk teguran dan kaunseling dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab dan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Malaysia yang juga anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dr Farah Nini Dusuki hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, pertemuan itu membincangkan kepentingan kesedaran dan pendidikan undang-undang, bimbingan kaunseling serta intervensi psikologi dalam isu-isu berkaitan buli dan jenayah melibatkan kanak-kanak.
“Antara perkara penting disentuh ialah kesedaran bahawa hubungan seksual suka sama suka dengan pasangan bawah umur masih dikira sebagai kesalahan jenayah rogol di bawah undang-undang negara,” jelasnya.
Asyraf Wajdi berkata, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM dan Majlis Peguam Malaysia bersetuju untuk bekerjasama dengan MARA dalam mempergiat program pendidikan dan pencegahan di institusi pendidikan MARA (IPMA) termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
“Melalui kerjasama ini, para peguam akan turun padang ke institusi MARA untuk memberikan motivasi, bimbingan serta kesedaran tentang isu buli, jenayah juvana dan dadah bagi memastikan intervensi pencegahan dapat dilaksanakan awal,” katanya.
Beliau menegaskan, prinsip yang digunakan kerajaan dalam menangani isu disiplin pelajar adalah jelas di bawah pendekatan #YouTouchYouGo, iaitu tindakan tegas terhadap sebarang salah laku yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pelajar lain.
Sejak akhir-akhir heboh tentang beberapa kejadian jenayah yang berlaku di sekolah membabitkan para pelajar.
Semalam, seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah di Lembah Klang mati ditikam oleh seorang pelajar lelaki sekolah yang sama.
Berdasarkan laporan, motif pembunuhan kerana kecewa apabila cintanya ditolak.
Sebelum ini, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Melaka dilapor dirogol oleh dua pelajar tingkatan lima sekolah yang sama.
Lebih malang, kejadian berlaku di dalam kelas di sekolah berkenaan manakala perlakuan itu pula dirakam oleh rakan pelajar lain. — Edisi 9

