25.5 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Capital A jalin kerjasama strategik dengan Garuda

Mesti Baca

CAPITAL A, sebelum ini dikenali AirAsia Group menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat penerbangan Indonesia, Garuda Indonesia Group bagi kerjasama secara strategik merentasi pelbagai bidang perniagaan.

Kedua-dua syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata, MoU tersebut menyaksikan pengembangan rangkaian merentasi pelbagai bidang perniagaan.

Kata mereka, ini termasuk perkhidmatan penerbangan komersial antara AirAsia dan Citilink, perkhidmatan logistik dengan Teleport dan Garuda Indonesia Cargo, serta pembaikan dan baik pulih penyelenggaraan (MRO) dengan Asia Digital Engineering (ADE), yang dimiliki oleh Capital A dan anak syarikat Garuda Indonesia Group, GMF AeroAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kerjasama itu mengukuhkan hubungan sedia ada di antara mereka.

“Mudah-mudahan, pada tahun-tahun mendatang, langkah ini akan diingati sebagai hari kita menukar penerbangan ASEAN selama-lamanya, bukan sahaja dalam syarikat penerbangan, tetapi juga MRO dan logistik.

“Saya tidak menyangka logo AirAsia dan Garuda akan berada di meja yang sama. Ini adalah impian dan impian ini boleh pergi sangat jauh,” katanya.

Pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Bo Lingam menandatangani MoU bagi pihak Capital A manakala Garuda diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Citilink, Dewa Kadek Rai.

Tony berkata, walaupun potensi dari segi bilangan penumpang, hasil dan kargo tidak boleh diukur berikutan dengan kerjasama itu, tetapi beliau percaya impaknya menjadi sangat besar untuk kedua-dua kumpulan sebagai syarikat yang tersenarai dan juga untuk negara.

Advertisements

Presiden dan CEO Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra pula berkata, perkongsian strategik itu adalah manifestasi komitmen syarikat untuk terus berkembang secara bersama.

Selain itu, katanya, ia bagi mewujudkan ekosistem industri penerbangan yang lebih cekap dan adaptif dengan bertindak balas terhadap cabaran prestasi industri penerbangan global.

“Ini menandakan jalinan pertama bagi AirAsia Aviation Group Ltd. Perkongsian itu akan memanfaatkan hampir 50 destinasi domestik di Indonesia yang diliputi oleh Citilink serta 150 destinasi antarabangsa AirAsia di ASEAN.

“Pelancaran awal di laluan terpilih antara kedua-dua syarikat penerbangan itu dirancang untuk mula beroperasi pada suku pertama 2024.

“Perkhidmatan bersepadu ini akan memberi kemudahan pemindahan yang lancar untuk pengembara masuk dan keluar, proses daftar masuk bagasi dan pengeluaran pas masuk boleh dilakukan dari bandar berlepas,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, perniagaan logistik Capital A, Teleport, dan Garuda Indonesia Cargo menandatangani perjanjian perkongsian yang akan menggabungkan rangkaian logistik udara mereka.

Perkongsian itu akan membolehkan kedua-dua syarikat memindahkan barangan ke 160 rangkaian destinasi Teleport merentasi Asia Pasifik dan ketersambungan Garuda di lebih 90 destinasi di seluruh dunia dengan lebih lancar di bawah satu bil penghantaran udara.

Kenyataan itu berkata lagi, perbincangan juga sedang dijalankan di antara ADE dan GMF AeroAsia untuk meneroka lebih lanjut peluang bagi satu lagi perkongsian strategik yang akan memanfaatkan kekuatan dan kecekapan bersama serta lokasi strategik ASEAN untuk menyampaikan perkhidmatan MRO yang dipacu nilai dan kos rendah kepada pihak ketiga yang mencari sokongan penyelenggaraan.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan