PROGRAM Perkampungan Pelancongan Seni Budaya Langkawi yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 November ini memerlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Penyelaras program Amran Nasrudin berkata, ini kerana penganjuran program oleh Persatuan Melodi Kenangan Artis & Penggiat Seni Malaysia (Pemekar) dengan kerjasama Langkawi Country Lodge (LCL) itu memerlukan peruntukan yang besar.
“Harapan kami sangat tinggi kepada pihak kementerian yang berwajib (MOTAC) supaya membantu menyokong kami khususnya dalam aktiviti begini yang memerlukan peruntukan.
“Namun begitu, peruntukkan itu amatlah sukar untuk kami dapatkan dari badan korporat apatah lagi bantuan dari kerajaan,” katanya selepas sesi pelancaran Perkampungan Pelancongan Seni Budaya Langkawi 2023 di Langkawi baru-baru ini.
Selain Pemekar dan LCL, perkampungan yang menghimpunkan kalangan penggiat seni dan budaya itu turut mendapat sokongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tourism Langkawi dan Kompleks Kraftangan Langkawi.
Perkampungan Pelancongan Seni Budaya Langkawi 2023 itu akan berlangsung di LCL pada 9 hingga 11 November ini.
Amran berkata, Pemekar dan LCL menyediakan pelbagai aktiviti berkaitan seni dan budaya yang akan membabitkan pelancongan sepanjang perkampungan itu berlangsung.
“Antara aktiviti yang akan diadakan ialah bengkel tarian, pemuzik tradisional, silat dan sebagainya. Kelas ini akan dikendalikan oleh pakar-pakar dari Langkawi dan Kuala Lumpur serta dari artis yang terbabit dan mahir dalam bidang masing-masing,” katanya.
Acara terserbut turut dimeriahkan oleh penggiat seni seperti Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Datuk Siti Fairuz, Fredo, Roslan Madun, Mat Over, Mubarak Majid, Keena Mentor, Irma Seleman dan Dijana Stena dari Serbia.
Sementara itu pemilik Langkawi Country Lodge, Norhayati Abdullah berkata, program tersebut bertujuan menyemarakkan seni budaya masyarakat negara ini dalam kalangan pelancong dengan diberikan pendedahan mengenai kesenian di Malaysia.
“Saya menyediakan platform dan menggunakan tenaga kerja mereka untuk mengajar di samping itu mencari bakat baharu serta mempromosikan kesenian pada pelancong luar, hasrat saya juga ingin menjadikan Langkawi sebagai tempat melancong sambil belajar,” katanya.
Antara aktiviti lain ialah Lepak Seni bersama Artis, Jualan Produk Artis, Bicara Tokoh Seni, Permainan Tradisional & Rakyat, Bengkel Tari/ Teater/ Muzik, Busana Tradisional, Tatarias dalam teater, Pertandingan karaoke, Penyampaian puisi dan Malam Gala Irama Malaysia.
Penganjur menyasarkan lebih 2,000 orang yang akan hadir dalam acara yang berlangsung selama tiga hari itu. – Edisi 9