AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan lesen pengendali syarikat bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 16.6 Jalan Genting Highlands, Pahang yang mengorbankan dua pelancong China bulan lalu.
APAD dalam kenyataan berkata, ia berikutan hasil siasatan pihaknya mendapati syarikat berkenaan, M. Kumar Trans Tour Sdn Bhd tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang telah ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya, Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL) pada 9 Julai 2024 telah memutuskan untuk membatalkan lesen pengendali syarikat berkenaan termasuk apa-apa permit kenderaan syarikat yang telah dikeluarkan oleh APAD serta-merta.
Tindakan tersebut berdasarkan kesalahan gagal mematuhi syarat lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dan pemanduan secara berbahaya.
“Semakan dengan agensi berkaitan juga mendapati syarikat ini turut mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.
“Ditegaskan sebarang transaksi berhubung dengan Lesen Pengendali bagi syarikat berkenaan tidak akan dibenarkan berkuatkuasa serta-merta,” kata kenyataan APAD hari ini.
Dalam kejadian 29 Jun lalu, bas persiaran berkenaan membawa 18 pelancong warganegara China, seorang pemandu pelancong dan dua pemandu ketika kemalangan tersebut.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, mangsa yang maut merupakan dua penumpang lelaki dipercayai warga China.
Dalam pada itu, APAD berkata, pihaknya menegaskan pendirian untuk tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, siasatan yang melibatkan penglibatan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) telah dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian, seterusnya memastikan insiden seumpama ini dapat dielakkan daripada berulang.
Agensi itu turut mengingatkan mana-mana syarikat untuk memantau prestasi pemandu kenderaan masing-masing dan hendaklah memastikan aspek kebajikan pemandu adalah terjaga setiap masa dalam memastikan keselamatan terhadap pengguna jalan raya yang lain.
“APAD berharap tindakan yang dikenakan ke atas syarikat pengendali ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal-hal keselamatan,”katanya. – Edisi 9

