25.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 29, 2023

Belian panik, kerajaan tak belajar Ekonomi Perilaku

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN telah buat prasangka buruk terhadap orang ramai untuk menolak tanggungjawab dan menuduh wujudnya ‘pembelian panik‘ susulan krisis stok beras tempatan ketika ini.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan seperti tidak dapat membezakan antara pembelian panik dengan helah menyimpan stok.

“Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di Dewan Rakyat berkata, “Kejadian membeli beras putih tempatan, kerana berlaku pembelian panik.

“Bila harga beras import meningkat, sebelum ini beras tempatan tidak dipedulikan sangat, termasuk oleh para peniaga.

“Pak Menteri secara semberono menyalahkan rakyat, kononnya rakyat panik dalam membeli beras. Dia tak dapat membezakan antara pembelian panik dengan helah menyimpan stok.

‘Helah menyimpan stok’ ialah tindakan berhelah dan terancang oleh pihak yang ada kuasa mendapatkan bekalan beras manakala ‘pembelian panik’ pula ialah tindakan tergesa-gesa rakyat untuk mendapatkan bekalan beras.

“Perbezaannya? Keadaan yang pertama ialah tindakan terancang oleh kumpulan tertentu, dan bilangan beras yang diambil adalah banyak.

“Pembelian panik oleh rakyat biasa pula tindakan bebas setiap orang yang tidak dirancang, dan selalunya tak dapat beli banyak pun.

“Apabila Pak Menteri tuduh rakyat beli secara panik, kita tahu itu tak betul melainkan kerajaan ada pasang kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kedai dan hantar video kepada menteri setiap hari!

“Kenapa kerajaan merapu meraban dengan anggapan yang main bantai? Sebab, mereka tak belajar Ekonomi Perilaku, yang jika diterjemah secara harfiah kepada Bahasa Melayu, “Ilmu Ekonomi Perilaku”,”katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua ARMADA Bersatu berkata, meskipun Pak Menteri keluarkan pelbagai kenyataan bercanggah, yang kita faham ialah dia pun mengaku bekalan beras tak cukup.

“Secara logiknya, jika bekalan tak cukup, maka pembeli yakni rakyat memang terpaksa bersaing untuk mendapatkan beras.

“Cara berkesan untuk memahami persaingan ialah melalui Teori Permainan. Daripada hentam-keromo menuduh rakyat beli secara panik, kita kena kaji adakah keadaan ‘nash equilibrium’ berlaku atau tidak dalam pembelian beras,”katanya.

Mengulas lanjut, katanya, ‘nash equilibrium’ wujud jika setiap pembeli ada tabiat-tabiat pembelian yang tetap dan mudah difahami.

“Misalnya, kalau berita kata bekalan beras cukup, setiap pembeli akan dapatkan beras sebulan sekali. Kalau berita kata bekalan beras tak cukup, pembeli masing-masing buat “stock-piling”, beli stok untuk kegunaan lebih beberapa bulan.

“Namun isunya tiada ‘nash equilibrium’ . Ini bermakna tabiat membeli beras berubah-ubah. Setiap keluarga akan cuba mengatasi keluarga lain semata-mata untuk dapatkan beras.

“Jika Pak Menteri memahami istilah ‘pembelian panik’ sebagai pembelian banyak sekaligus oleh setiap pembeli, maka setiap keluarga akan mengkaji tindakan keluarga lain, untuk mengalahkan orang lain dalam persaingan mendapatkan beras.

“Tapi ini jelas tak berlaku dalam dunia sebenar. Kalaulah setiap keluarga atau pembeli begitu taktikal, mereka tak akan beramai-ramai mengeluh apabila tak dapat beras.

“Bukti di media sosial membuktikan bahawa rakyat tidak berkeupayaan untuk membuat taktik pembelian berubah-ubah.

“Justeru itu, ‘nash equilibrium’ tidak terpakai. Rakyat hanya ada tabiat-tabiat tetap dalam membeli.

“Lainlah kalau kerajaan nak kata rakyat panik. Tapi anggapan ini lagilah tak masuk akal kerana tak mungkin kerajaan dapat meneropong, skodeng ke dalam hati kehidupan setiap keluarga untuk mengatahui sama ada rakyat panik atau tidak,”katanya.

Ujar beliau, yang pasti, Pak Menteri telah buat prasangka buruk terhadap orang ramai untuk menolak tanggungjawab.

“Ini juga kerana politikus kerajaan tak belajar Ekonomi Perilaku.

“Tapi apa nak diharapkan dengan Menteri-Menteri kerajaan Madani ini kerana formulanya hanya satu: semua salah rakyat. “Ikut suka hati, ini kerajaan kami!” bak kata ahli parlimen mereka,”sindir beliau. – Edisi 9

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Kumpulan nasyid Aeydan enggan dibayangi Rabbani

MENYEDARI mereka dilahirkan sebagai anak-anak Rabbani, ramai beranggapan kumpulan nasyid Aeydan bakal menyambung legasi kumpulan itu. Namun begitu, ia membuatkan...

Lagi Artikel Berkaitan