29.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

43 nelayan Vietnam ditahan, empat bot bernilai RM3.86 juta dirampas

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya menahan empat bot nelayan Vietnam kira-kira 125 hingga 150 batu nautika daripada muara Tok Bali, Kelantan, Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, susulan itu, seramai 43 nelayan Vietnam termasuk tekong ditahan berumur antara 16 hingga 61 tahun.

Katanya, Maritim Malaysia turut merampas empat bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 7,000 liter dengan anggaran RM3.86 juta.

“Bot pertama dan kedua berjaya ditahan lebih kurang pukul 8.18 pagi dan 9.01 pagi berkenaan.

“Semasa mengiringi kedua-dua bot ke jeti tahanan, kapal penguat kuasa telah mengesan dua lagi bot nelayan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berhampiran. Kedua-dua bot ditahan sekitar pukul 2.32 petang dan 2.50 petang,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Khairun Dalilah berkata, kesemua bot tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila kapal penguat kuasa memberikan arahan untuk menghentikan bot.

Advertisements

Jelas beliau, kapal penguat kuasa seterusnya bertindak memintas bot dan melakukan force boarding untuk menghentikan bot-bot berkenaan.

“Setelah pegawai dan anggota penguat kuasa berjaya menaiki bot, mereka akhirnya mengalah dan akur untuk memberikan kerjasama. Tiada sebarang tindakan agresif daripada keempat-empat bot yang ditahan.

“Bot pertama mempunyai lima kru termasuk tekong, bot kedua (17), bot ketiga (16) dan keempat (lima) menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan 43 individu,” katanya.

Menurut Khairun Dalilah, kesemua bot disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Empat tekong juga disyaki melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

“Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan