29.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Polis tumpas sindiket seleweng minyak diesel Petronas, 15 ditahan

Kegiatan penyelewengan yang berlaku sejak Januari 2021 hingga Februari itu mengakibatkan kerugian dianggarkan RM13.5 juta kepada pihak Petronas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket yang aktif menyeleweng minyak diesel milik Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) di Pantai Timur membabitkan kerugian RM13.5 juta, kelmarin.

Kejayaan berkenaan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM dan siasatan dalaman pihak Petronas.

Sehubungan dengan itu, kata Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, satu operasi bersepadu dijalankan, kelmarin di sekitar ibu kota, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu bagi mengesan suspek.

Beliau berkata, hasil operasi dijalankan itu, polis berjaya menahan 15 lelaki tempatan berusia lingkungan 29 hingga 52 tahun yang dipercayai terbabit sindiket itu.

“Kita turut merampas dua kenderaan, 16 telefon bimbit, 17 set dokumen, 16 pek sim kad,dua kad syarikat dan dua unit pengukur kedalaman tangki minyak.

“Selain itu,satu ‘gasoline gauging paste’, dua komputer riba, tiga cop pelbagai syarikat dan masing-masing satu tablet, kad pelaut dan mesin kira turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Advertisements

Ramli berkata, berdasarkan siasatan, kegiatan penyelewengan yang berlaku sejak Januari 2021 hingga Februari mengakibatkan kerugian dianggarkan RM13.5 juta kepada pihak Petronas.

“Sindiket yang dianggota individu daripada pelbagai kelas jawatan dalam bidang perkapalan ini dikesan menjual semula baki minyak diesel yang diperuntukkan kepada setiap kapal logistik marin kepada pembeli secara haram.

“Harga jualan yang ditawarkan adalah sekitar RM1.80 hingga RM1.98 per liter dan hasil jualan dibahagikan antara kru yang bertugas pada tempoh masa terbabit,” katanya.

Berikutan itu, Ramli berkata, kesemua suspek kini direman tujuh hari.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan,”katanya.

Ujar beliau, PDRM masih meneruskan siasatan untuk menilai sejauh mana rangkaian sindiket ini dan mengenalpasti pihak yang terbabit. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan