28.7 C
Kuala Lumpur
Friday, December 13, 2024

Nyahklasifikasi perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia

Nyahklasifikasikan kandungan perjanjian tersebut penting untuk memastikan isu ini tidak berpanjangan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mendesak kerajaan untuk segera nyahklasifikasikan perjanjian persempadanan maritim yang telah ditandatangani dengan Indonesia pada 8 Jun lalu demi untuk memelihara kepentingan awam.

Beliau berkata, penyahklasifikasian kandungan perjanjian itu bukan sahaja bakal menjawab persoalan sejauh manakah Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani tersebut tidak melibatkan kawasan blok Ambalat tetapi ianya juga bakal menoktahkan spekulasi serta kebimbangan rakyat berhubung sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi seperti yang dikatakan oleh kerajaan.

“Blok ambalat iaitu kawasan seluas 15,000 kilometer (km) persegi di tengah-tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah ini mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan telah dipertahankan oleh Malaysia sekian lama.

“Maka ianya tidak boleh digadai sama sekali,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Tambah beliau, apatah lagi pakar maritim yang terlibat dalam usaha melindungi hak wilayah Malaysia telah memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baru untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia.

“Mereka berkata Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan tertentu.

Advertisements

“Sehubungan dengan itu, kita tidak boleh tolak ansur atau berkompromi dalam soal kedaulatan negara khususnya perairan Sabah, yang juga melibatkan zon ekonomi eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia.

“Jadi tentu sekali penting untuk didedahkan apa yang dimeterai dalam perjanjian itu supaya spekulasi tidak berpanjangan dan sebagai bukti jelas perjanjian berkenaan tidak langsung melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau Ambalat,”katanya.

Ujarnya, lebih merisaukan apabila laporan beberapa media baru-baru ini yang melaporkan Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam penerokaan sumber minyak dan gas di blok Ambalat yang telah merujuk kenyataan Ketua Pengarah Minyak dan Gas Indonesia sendiri, iaitu Tutuka Ariadji.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, tindakan segera untuk nyahklasifikasikan kandungan perjanjian ini adalah penting untuk memastikan isu ini tidak berpanjangan.

“Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan isu Ambalat secara terbuka dan tuntas bagi menangani prasangka, keraguan serta kebimbangan rakyat Malaysia, khususnya di kalangan rakyat Sabah,”katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo menandatangani beberapa perjanjian pada 8 Jun lalu, termasuk mengenai persempadanan laut wilayah di Laut Sulawesi dan Selat Melaka, di tengah-tengah keraguan daripada pakar maritim mengenai cadangan untuk menyelesaikan pertikaian itu.  – Edisi 9

Advertisements

Terkini

YKM belanja RM5 juta bantu anak yatim akibat COVID-19

YAYASAN Keluarga Malaysia (YKM) telah membelanjakan sebanyak RM5 juta pada tahun ini bagi membantu meringankan beban dihadapi anak-anak yatim...

Lagi Artikel Berkaitan