PERIKATAN Nasional (PN) melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi “terma-terma penting” perjanjian beliau dengan parti itu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sehubungan itu PN memutuskan untuk menghantar delegasi untuk menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut.
Menurut beliau, tindakan tersebut akan dilakukan dalam masa yang terdekat.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 27 Julai (malam tadi) telah dipengerusikan oleh Pengerusi Parti, Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin dan dihadiri oleh semua Presiden parti anggota.
“Mesyuarat juga melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan apakah terma-terma perjanjian yang telah diputuskan antara PN dan juga Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Hamzah menyatakan mesyuarat antara lain telah membuat ketetapan berkenaan Majlis Pelancaran PN Negeri Terengganu pada 30 Julai ini, dan penganjuran Konvensyen PN pada 27 Ogos ini sempena ulang tahun ke-2 PN.
Selain itu menurut beliau, beberapa ketetapan penting bagi memperkemaskan kesiapsiagaan parti menjelang PRU ke- 15 juga diputuskan.
-EDISI9