KERAJAAN komited menambah aktiviti berkaitan bagi menyokong pembangunan zon kewangan khas di Forest City, Johor Bahru bagi merancakkan lagi pertubuhan, pelaburan dan ekonomi di Johor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengwujudan zon tersebut bakal betindak sebagai pelengkap kepada aktiviti pelaburan bernilai tinggi di Iskandar Malaysia.
Selain itu kata Anwar, pelaksanaan zon tersebut selain insentif yang disediakan kerajaan akan menyaksikan kos bagi menjalankan perniagaan di kawasan itu lebih berpatutan.
“Kemudahan yang akan ditawarkan kepada syarikat dan individu yang layak antaranya pemberian insentif cukai berkadar khas dan pemberian kadar cukai 15 peratus kepada pekerja berpengetahuan.
“Selain itu, turut ditawarkan ialah kemudahan laluan pantas di imigresen untuk memudah cara kemasukan golongan berkepakaran dari luar negara,” katannya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas menghadiri Jelajah Belanjawan 2024 bagi peringkat Negeri Johor hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mengalu-alukan cadangan komuniti perniagaan tempatan untuk memperkasakan lagi ekosistem ekonomi setiap negeri.
“Jelajah Belanjawan 2024 memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mendapatkan buah fikir dan pandangan daripada segenap lapisan masyarakat agar id mencerminkan denyut nadi dan aspirasi rakyat,” katanya. – Edisi 9

