LAGU ‘Untukmu’ pernah mencetuskan satu fenomena yang luar biasa satu ketika dahulu daripada kumpulan wanita popular, Feminin.
Namun kini ia diberi nafas baharu oleh penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU) iaitu Aisha Retno, Fiza Thomas, Serene Claire, dan Tika Nasir atau dikenali sebagai “Angelz” menerusi Untukmu Versi 2023.
Lagu ini turut menjadi runut bunyi rasmi untuk drama Gadis Muzikal.
Mereka yang menyanyikan semula lagu ini turut terbabit sebagai pelakon dalam drama berkenaan.
Selain itu, lagu ini telah mendapat sentuhan istimewa daripada penerbit yang hebat seperti Mas Dewangga dan Jova Devito.
Mereka telah menghasilkan susunan dan nafas lagu ‘Untukmu Versi 2023’ agar lagu ini dapat memenuhi selera pendengar moden, menjadikannya lebih relevan untuk semua peringkat umur.
Aisha Retno berkata, dia sangat teruja apabila mendapat tawaran untuk menyanyikan lagu ‘Untukmu Versi 2023’ bersama rakan selebriti yang lain dan berharap agar lagu ini menjadi siulan pada masa akan datang.
“Aisha sangat bersyukur kerana diberikan peluang yang cukup besar untuk menyanyikan semula lagu Feminin, ‘Untukmu Versi 2023’ bersama-sama rakan selebriti yang terbabit dalam Gadis Muzikal ini.
“Apabila kami mendapat tawaran ini, tanpa teragak-agak Aisha bersama pelakon Gadis Muzikal yang lain mengatakan “iya” untuk melakukan versi dan nafas yang baharu tanpa merosakkan murni asal lagu ini yang sudah cukup besar menjadi siulan ramai orang.
“Harapan Aisha lagu ini menjadi siulan ramai generasi era kini dan jika rezeki diluaskan, kemungkinan besar dapat menyanyikan lagu ini bersama-sama selebriti Gadis muzikal dan Feminin di satu pentas nanti,” katanya.
Bagi Serene Claire, gadis berbangsa Cina ini mengatakan dia menghadapi cabaran dalam Bahasa Melayu kerana bukan bahasa utamanya.
“Pertama kali mendengar lagu ini, saya merasakan aura positif yang sangat kuat dan penuh dengan harapan. Walaupun saya mempunyai halangan dalam Bahasa Melayu tetapi ia memberi keunikkan dalam lagu ini dengan aksen bahasa Cina.
“Selain itu, saya menghafal lagu dengan hanya mengambil masa yang singkat dan mendengar lagu ini banyak kali sehingga saya dapat menyampaikan lagu ini dengan sempurna,” kata Serene.
Tika Nasir turut berkongsi persiapan sebelum membuat rakaman kerana mahukan unsur lagu semasa dan keistimewaan lagu ini juga membawa karakter dalam drama Gadis Muzikal.
“Tika mengambil langkah persiapan sebelum membuat rakaman ‘Untukmu’ yang mengandungi unsur vibe moden.
“Lagu ini tidak hanya mencerminkan personaliti individu kami, malah ia juga memaparkan karakter yang dilakonkan dalam drama.
“Kami bersyukur kerana hasilnya sangat memuaskan, dengan keunikan dan kekuatan vokal yang berbeza-beza di antara kami, membawa keberhasilan yang berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Fiza berkata dia telah dibesarkan oleh lagu-lagu 90an dan lagu ‘Untukmu’ tidak asing lagi untuknya dan keserasian bersama pelakon dan penyanyi yang lain juga menjadi lebih mudah kerana banyak meluangkan masa bersama dalam menjayakan lagu ‘Untukmu Versi 2023’.
“Sememangnya lagu ‘Untukmu’ sangat familiar bagi Fiza kerana telah dibesarkan dengan lagu-lagu 90an sejak dulu. Fiza juga percaya bahawa lagu ini sangat dekat dengan Fiza.
“Untuk keserasian bersama penyanyi lain pula, Fiza banyak meluangkan masa bersama mencari rujukan seperti lagu-lagu sanduran yang lain dan secara tidak langsung kami membina keserasian antara satu sama lain.
“Ini juga telah memudahkan proses pembikinan ‘Untukmu Versi 2023’ menjadi lebih sempurna,” kata.
Lagu ‘Untukmu Versi 2023’ ini telah dipilih sebagai runut bunyi rasmi bagi drama Gadis Muzikal yang ditayangkan sejak 17 Ogos lalu di strim ekslusif HD Tonton.
Drama ini mengisahkan lima gadis dengan latar belakang yang berbeza, bersaing di dalam pertandingan realiti TV untuk membentuk sebuah trio yang dikenali sebagai kumpulan ‘Angelz.’
Drama ini dijangka akan memukau penonton dengan penggabungan elemen muzik dan naratif yang menyentuh hati. -Edisi 9