25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

PRN: Ilham Centre ramal status quo di enam negeri

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

FIRMA penyelidikan bebas, Ilham Centre meramalkan kesemua negeri akan kekal ditadbir kerajaan sedia ada selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung esok.

Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diramal akan kekal menguasai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Bagi Perikatan Nasional (PN) pula katanya, gabungan itu dijangka terus mendapat sokongan pengundi Melayu untuk terus kekal mentadbir kerajaan negeri di Kedah, Kelantan dan juga Terengganu.

“PH-BN mempertaruhkan prestasi cemerlang pentadbiran kerajaan negeri memberikan keyakinan terbesar mengapa pengundi di negeri ini masih yakin dengan mereka.

“Selain itu, undi asas yang dimiliki PH terutama dalam kalangan pengundi bukan Melayu; Cina dan India kelihatan menjadi deposit tetap kepada gabungan parti ini. 

“Sokongan bukan Melayu seakan tidak berganjak. Kempen agresif PN menakutkan segmen ini dan data kami menunjukkan pengundi bukan Melayu akan keluar tinggi di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, di Negeri Sembilan turut sukar dicabar terutama apabila dua blok PH dan BN bergabung. 

Katanya, undi asas BN dalam kalangan pengundi Melayu terlalu besar sementara PH menguasai kawasan bercampur dan majoriti Cina.

“PN juga bermasalah menampilkan poster boy untuk menteri besar dan ini sedikit sebanyak memberi kesan untuk menarik pengundi di atas pagar kepada gabungan parti itu,” ujarnya.

Sementara itu di Pulau Pinang lebih tertumpu di DUN majoriti Melayu seperti Penaga, Pinang Tunggal, Permatang Berangan dan Sungai Dua dengan PN berpotensi di kawasan tersebut. 

Advertisements

“Telok Ayer Tawar, Permatang Pasir, Penanti termasuk dalam kategori sengit. Kerusi lain PH dan BN di hadapan,” katanya.

Bagi dua negeri, Kelantan dan Terengganu pula kata Hisommudin, berkongsi ciri hampir sama. 

Katanya, Pas ternyata selesa dan amat berhati-hati dalam berkempen kerana khuatir disabitkan dengan kesalahan pilihan raya.

Ujar beliau, mengikut data untuk soalan kerajaan negeri wajar dikekalkan, Kelantan adalah paling rendah dengan hanya 57 peratus bersetuju. 

“Peratus paling rendah antara negeri di bawah pentadbiran Pas. Terengganu sebanyak 61 peratus dan Kedah sebanyak 67 peratus.

“Ini memberi makna, terdapat ruang ketidakpuasan hati untuk pengundi menukar kerajaan, tetapi keadaan terjadi sebaliknya selepas penamaan calon.

“Di pihak BN-PH, pengundi menyifatkan gabungan itu tidak serius untuk mengambil alih kerajaan kerana ketiadaan tokoh berwibawa terutama di Kelantan menyebabkan pengundi yang mungkin kurang berpuas hati hilang keterujaan untuk mengubah undi mereka kepada gabungan itu,” katanya.

Menurut beliau. Kedah berada di kelas tersendiri kerana faktor Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor sudah memadai menyekat hasrat BN-PH untuk merampas negeri itu.

“Malah kesilapan strategi kempen menyebabkan kerusi milik PH-BN dahulu mungkin akan hilang dari genggaman. Mampu menyapu hampir bersih sekiranya pengundi Cina rendah keluar mengundi. 

“Kerusi Derga, Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang ada peluang buat PH. Undi Umno perlu keluar maksimum bagi DUN Pedu dan Sungai Tiang untuk menang,” jelasnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Jangan terjebak perjudian perhubungan cinta ekspres

Oleh DR NORSAFATUL AZNIN A. RAZAK DALAM era moden yang serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terbentuk dengan begitu...

Lagi Artikel Berkaitan