30.3 C
Kuala Lumpur
Monday, May 20, 2024

Anugerah TikTok Malaysia pertanding 13 kategori

Mesti Baca

MENGIKTIRAF bakat tempatan, Anugerah TikTok Malaysia, bakal meraikan warga pencipta konten tempatan serta mencetus banyak lagi peluang bagi mereka dalam industri ini.

Bakal berlangsung pada 27 Ogos ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur, anugerah yang pertama kali diadakan itu mempertaruhkan sebanyak 13 kategori.

Malam anugerah itu juga akan disiarkan secara langsung di TV3.

Ketua Pemasaran dan Operasi, TikTok Malaysia, Yin Yin Hooi berkata, buat pertama kali dianjurkan mereka sepakat mempertandingkan 13 kategori dahulu.

“Kami teruja untuk membawakan Anugerah TikTok ini kepada warga Malaysia. Anugerah yang berprestij ini akan meraikan pencapaian dan usaha luar biasa yang dipamerkan oleh warga pencipta kita, yang juga tulang belakang platform ini.

“Sebagai acara yang terulung buat golongan pencipta pada tahun ini, kami berbesar hati untuk menerima pembabitan jenama-jenama di dalam dan di luar talian.

“Kerana ia juga dapat membantu anugerah ini menjadi batu loncatan untuk pencipta mendapatkan banyak lagi pendedahan melalui kerjasama yang dijalinkan dengan jenama-jenama yang terkemuka,” katanya pada sidang media pelancaran anugerah berkenaan baru-baru ini.

Bakal menjadi acara tahunan untuk menghimpunkan yang terbaik dalam arena penciptaan konten, Anugerah TikTok meraikan dan memberi penghargaan kepada pencipta tempatan berbakat yang berani mencabar batasan kreatif, menjadi sumber inspirasi kepada komuniti dan mencorak industri penciptaan kandungan.

Sejak ditubuhkan, TikTok telah menjadi platform yang memupuk semangat ekspresi kreatif, tulen dan positif, serta telah mencorak sebuah komuniti yang utuh dan inklusif melalui sejenis bahasa yang dikongsi bersama, iaitu video.

Berlatarkan pelbagai topik dari pendidikan, makanan hingga ke kecantikan, komuniti pencipta di TikTok berjaya melahirkan segmen dan pengikut mereka sendiri.

Dengan tema ‘Yang Gah di Skrin Kecil’ mendemonstrasikan potensi membatasi sempadan untuk warga pencipta menggandakan dan mempersembahkan kejayaan mereka di atas pentas besar, seperti yang bakal disaksikan pada malam anugerah itu nanti.

Anugerah itu akan dibahagikan kepada Pilihan Juri (Judge’s Pick) dan Pilihan Popular (People’s Choice).

Advertisements

Bagi Pilihan Juri, calon dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan keputusan akan dibuat oleh sebuah panel eksekutif.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof; artis prolifik, Hael Husaini dan Pengurus Besar Operasi & Pemasaran TikTok, Asia Tenggara, Angga Anugrah Putra.

Sebanyak enam kategori pilihan juri iaitu Kecantikan & Fesyen, Pendidikan, Hiburan, Sukan, Permainan, dan Makanan.

Bagi Pilihan Popular, TikTok akan membuka undian untuk orang awam dan peminat boleh menunjukkan sokongan mereka dengan mengundi pencipta kegemaran masing-masing.

Undian orang awam bagi tujuh kategori iaitu Creator of the Year, Rising Star of the Year, Popular Creator of the Year, Popular Animation Account of the Year, Celebrity of the Year, Live Creator of the Year and TikTok Shop Creator of the Year sudah pun dibuka sejak 15 Ogos lalu hingga 26 Ogos ini.

Tidak lengkaplah sebuah majlis anugerah tanpa aspek fesyen yang bakal menyerikan lagi acara ini.

Pada malam anugerah berkenaan, TikTok juga akan menyampaikan Anugerah Busana Terbaik (Best Dressed Awards) kepada peserta yang mendapat markah tertinggi dari sudut gaya dan originaliti.

Mereka akan dipilih oleh panel juri dan orang awam yang menyaksikan anugerah pada malam itu.

Majlis anugerah ini akan dimeriahkan oleh ramai selebriti dan warga pencipta pujaan ramai antaranya Datuk Yusof Haslam, Bell Ngasri, Amber Chia, Farah Ann Abdul Hadi dan ramai lagi yang akan menyampaikan anugerah di atas pentas.

Penonton juga bakal disajikan dengan persembahan yang mengasyikkan daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Zeppo, DOLLA, Marsha Milan, Ernie Zakri, Alyph dan ramai lagi.

Acara Utama Anugerah TikTok akan dihoskan oleh Izzue Islam, Sherry Alhadad dan Amelia Henderson, manakala acara ‘Red Carpet’ akan dihoskan oleh Ceddy dan Sissy Imann.

Detik belakang pentas pula akan dihoskan oleh Jaa Suzuran dan Neeta Manis.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zii Jia tamatkan kemarau gelaran, juarai Terbuka Thailand

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menamatkann kemarau gelaran selama tujuh bulan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka...

Lagi Artikel Berkaitan