Wednesday, June 17, 2026

Amalan minta, beri komisen projek harus dihentikan – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AMALAN meminta dan memberi komisen dalam mana-mana pelaksanaan projek pembangunan termasuk projek perumahan harus dihentikan serta-merta.

Tegas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat daripada menjalankan operasi mereka untuk peroleh keuntungan.

“Bagaimanapun, amalan memberi komisen kepada mana-mana menteri atau parti politik tidak seharusnya berlaku.

“Ada keuntungan (syarikat) tiada masalah, tapi janganlah potong RM10 juta atau RM15 juta untuk pak menteri atau parti seperti amalan sebelum ini, ini yang merosakkan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.

Anwar bagaimanapun mengakui ada pihak yang akan rasa kurang senang dengan ketegasan beliau berhubung perkara tersebut.

“Saya faham ramai yang marah saya kerana menyinggung hal ini tapi semua orang tahu, tanyalah pemaju Wilayah Persekutuan.

“Adakah saya betul atau salah, atau saya sengaja membesar-besarkan atau saya bercakap benar? Hakikatnya semua mengakui ini telah menjadi amalan. Jadi kita harus hentikan amalan buruk ini,”katanya.

Anwar berkata, adalah lebih baik “peruntukan komisen” berkenaan dipulangkan kepada rakyat dengan mewujudkan banyak pembangunan projek seimbang yang meliputi pembinaan projek perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah dan pusat-pusat penjaja yang lebih tersusun. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan