AHLI Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Isham Jalil menggesa satu mesyuarat khas MT dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) khas diadakan segera bagi membincangkan hala tuju parti di saat yang getir dan kritikal ini.Â
Isham berkata, selepas hampir seminggu sejak UMNO kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) namun sehingga kini MT UMNO belum bersidang atau dipanggil untuk bersidang.
Katanya, akar umbi akan menjadi semakin resah jika pimpinan parti mendiamkan diri dan tidak memberikan hala tuju yang jelas semasa krisis.
“Berada dalam sindrom penafian dan melengah-lengahkan masa supaya isu dilupakan bukanlah pilihan yang baik untuk kita di kala ini.
“Oleh itu, saya menggesa supaya satu mesyuarat MT Khas dan Perhimpunan Agung UMNO khas diadakan segera untuk membincangkan hala tuju parti di saat yang getir dan kritikal ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Pada PRN di enam negeri 12 Ogos lalu, UMNO hanya menang 19 kerusi (17.6 peratus) daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Isham berkata, perbincangan tersebut perlu melibatkan semua akar umbi kerana mereka perlu membuat keputusan penting yang akan memberi kesan kepada semua pihak.
“Dan kita perlu libatkan semua akar umbi UMNO yang ingin menyertai dalam perhimpunan agung khas ini sebab keputusan yang perlu kita buat adalah suatu keputusan yang amat penting dan memberi kesan kepada semua ahli dan akar umbi UMNO.
“Kita berada dalam keadaan yang luar biasa. Keadaan luar biasa memerlukan tindakan yang luar biasa,” katanya. – Edisi 9