26.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

29 pemenang dirai terima Anugerah Tenaga Kebangsaan

Daripada jumlah itu, seramai 23 pemenang akan mewakili Malaysia dalam Anugerah Tenaga ASEAN yang akan berlangsung pada 24 dan 25 Ogos 2023

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 29 pemenang menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2023 dalam penganjuran pertandingan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) hari ini.

Penganjuran dengan kerjasama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) itu, telah menerima sejumlah 114 penyertaan.

Daripada sejumlah 29 pemenang dalam kategori penyelesaian Pengurusan Tenaga, Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharui, seramai 23 pemenang akan mewakili Malaysia dalam Anugerah Tenaga ASEAN yang akan berlangsung pada 24 dan 25 Ogos 2023.

Penganjuran pertandingan itu bersempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN anjuran ASEAN Centre of Energy (ACE), sebuah pertubuhan antara kerajaan yang mewakili kepentingan negara-negara anggota ASEAN dalam sektor tenaga.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, NEA dianjurkan setiap tahun sejak tahun 2018 bagi mengiktiraf usaha syarikat dan institusi Malaysia yang melaksanakan inisiatif kemampanan yang membawa perubahan.

“Ini adalah selaras dengan agenda Peralihan Tenaga Saksama, Rendah Karbon dan pembangunan mampan.

“Oleh itu, saya amat berbangga dengan penyertaan pada tahun ini dan percaya bahawa mereka yang menyertai adalah peneraju bagi amalan tenaga lestari.

“Malaysia memerlukan semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam usaha kita mencapai rendah karbon.

“Para peserta NEA telah mendahului usaha ini menerusi idea, inovasi dan pelaksanaan yang seharusnya kita contohi.

“Saya pasti lebih banyak syarikat-syarikat perniagaan akan mendapat inspirasi daripada contoh-contoh ini dan saya berharap penyertaan dalam edisi NEA yang seterusnya akan meningkat,”katanya di sini.

Penyertaan sebanyak 114 pada tahun ini menyaksikan gabungan pengurangan
penggunaan tenaga melebihi 1.34 GW daripada segi penjimatan elektrik.

Advertisements

Ini bersamaan dengan pengurangan pelepasan karbon melebihi 23,000 tan metrik setahun.

Bagi pemenang peringkat akhir NEA, sembilan daripada mereka telah memenangi kategori Amalan Terbaik dalam Pengurusan Tenaga, 11 memenangi kategori Kecekapan Tenaga dan sembilan memenangi Kategori Projek Tenaga Boleh Baharu Terbaik.

Bagi kategori Pengurusan Tenaga yang menyaksikan persaingan sengit, empat buah hospital kerajaan telah mendapat pengiktirafan kerana menggunakan sistem pengawasan dan kawalan sistematik yang proaktif untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga, mengurangkan kos tenaga dan mengurangkan impak alam sekitar secara keseluruhan.

Sementara itu, bagi kategori Kecekapan Tenaga, sebuah sekolah antarabangsa telah mendapat tempat pertama dan sebuah hospital kerajaan yang lain telah dipilih sebagai pemenang kedua.

Kategori ini mengiktiraf inisiatif yang menerima amalan tenaga mampan untuk bangunan baharu atau yang dibaikpulih.

Bagi kategori Tenaga Boleh Baharu pula, penyertaan diterima daripada projek solar, solar kepada hidrogen, biogas dan mini hidro dari seluruh Malaysia.

Ketua juri untuk NEA, Ir. Chen Thiam Leong berkata, Malaysia sedang mengorak langkah ke arah menggabungkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dengan tindakan iklim.

“NEA akan terus memainkan peranan penting untuk menggalakkan perniagaan menerima amalan yang mampan.

“Panel juri pada tahun ini teruja menerima penyertaan yang menunjukkan usaha untuk menjadikan Pengurusan Tenaga, Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharui sebagai agenda utama.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada peserta yang telah dipilih untuk mewakili Malaysia dalam Anugerah Tenaga ASEAN, anugerah tertinggi di rantau ini dalam mempromosikan perkembangan dan penerimaan amalan tenaga mampan.

“Saya yakin para peserta dapat membuktikan kehebatan mereka di peringkat serantau,”kata beliau lagi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas Akhyar disamun, Faisal Halim pula disimbah asid

BARU beberapa hari lepas pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid diserang dan disamun di Kuala Terengganu, hari ini Faisal...

Lagi Artikel Berkaitan