27.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

32 negara sebulat suara menentang kejadian hina, bakar al-Quran

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 32 negara telah sebulat suara menentang kejadian penghinaan dan pembakaran al-Quran di beberapa buah negara termasuk Sweden dan Denmark sekaligus menyeru pihak terlibat tidak mengulangi kejadian itu pada masa depan.

Perkara itu disampaikan menerusi Mesyuarat Sesi Luar Biasa ke-18 Majlis Menteri-menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Berhubung Jenayah Berulang Penghinaan dan Pembakaran Kitab Suci al-Quran di Sweden dan Denmark.

Wisma Putra berkata, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin turut mengetuai delegasi Malaysia ke sesi itu dan menyampaikan kenyataan Malaysia berhubung kepentingan prinsip sejagat serta kepentingan menghormati prinsip agama.

“Mohamad Alamin menegaskan tentang pentingnya prinsip sejagat dalam menghormati agama dan kitab suci selain turut menyeru agar semua pihak berganding bahu menangani isu Islamofobia.

“Ia bagi memaparkan imej sebenar Islam sebagai agama yang membawa mesej keamanan, kesederhanaan dan toleransi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Advertisements

Wisma Putra berkata, mesyuarat itu turut menerima pakai Resolusi Berhubung Jenayah Berulang Penghinaan dan Pembakaran Kitab Suci al- Quran di Sweden dan Denmark.

“Antara intipati resolusi itu adalah mengutuk sekeras- kerasnya kejadian penghinaan dan pembakaran al-Quran yang berlaku di beberapa buah negara.

“Resolusi itu termasuk memastikan semua negara anggota OIC meletakkan agenda memerangi sentimen Islamofobia sebagai salah satu keutamaan dan sentiasa diberi perhatian di dalam semua platform antarabangsa,” jelasnya.

Menurutnya, sebagai salah sebuah negara pengasas OIC, Malaysia juga kekal komited dalam menggalakkan penghormatan dan perlindungan sepenuhnya kitab suci agama serta memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.

Mesyuarat itu diadakan secara atas talian dan dipengerusikan Menteri Luar Negeri Republik Mauritania, Mohamed Salem Ould Merzoug selaku Pengerusi Majlis Menteri Luar Negeri OIC selain dihadiri oleh 57 buah negara OIC. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas Akhyar disamun, Faisal Halim pula disimbah asid

BARU beberapa hari lepas pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid diserang dan disamun di Kuala Terengganu, hari ini Faisal...

Lagi Artikel Berkaitan