PELAWAK kontroversi, Jocelyn Chia cuba ‘cari pasal’ lagi dengan Malaysia apabila mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak mengeluarkan arahan tangkap terhadap kumpulan The 1975 yang berkelakuan biadab ketika membuat persembahan di Sepang baru-baru ini.
Menerusi ciapan dalam twitternya, pelawak berasal dari Singapura dan berpengkalan di Amerika Syarikat itu menuduh kerajaan Malaysia ‘memilih bulu’ apabila tiada arahan tangkap oleh Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Matty Healy dan kumpulan dari United Kingdom itu.
“Selamat datang Matty Healy ke dalam senarai yang disekat oleh Malaysia. Namun, mana arahan supaya dia ditahan dan Interpol digesa mengesan di mana dia berada kerana dikatakan melanggar undang-undang Malaysia ketika berada di negara itu?.
“Adakah Malaysia sudah berlembut? Atau betul seperti kata orang, kerana dia berkulit putih?,” ciapnya.
Pada Jun lalu, Jocelyn dikecam pelbagai pihak kerana menjadikan kes kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 sebagai modal dalam persembahan komedinya di AS.
Kecaman bukan hanya datang daripada pelbagai pihak di Malaysia, bahkan, kebiadapannya turut dikecam oleh banyak di negara kelahirannya, Singapura.
Kumpulan muzik The 1975 pula dikecam teruk kerana dikatakan memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain berkelakuan lucah dan membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) semasa mengadakan persembahan di Good Vibes Festival di Sepang, pada Jumaat lalu.
Ciapan tersebut kini telah mendapat kira-kira 40 komen dan dibaca kira-kira 15,000 kali.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna menyelar kenyataan wanita tersebut yang dilihat mengambil kesempatan terhadap kejadian berkenaan.
“Alahai nyonya ni… sibuk sangat dengan Malaysia ek…kesian…obsessed dengan Malaysia,” kata j@iLO.
“Kritikan anda kepada rakyat Malaysia masih tidak membolehkan ‘lawak’ menggunakan tragedi MH370,” kata Jasman.
“Tak bertaubat lagi” kata Alia.
Isha pula berkata, tolonglah, dia ni terlalu sunyi atau terdesak perhatian.
“Sebab tidak ada kerja (job) dan tak laku. Tolong santau tahi lalat dia,” sindirnya. – Edisi 9