POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang didakwa kerap menghendap dan mengganggu pekerja kedai serbaneka di Taman Sri Serdang, Selangor.
Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang, A. A. Anbalagan berkata, suspek yang dipercayai warganegara India dan dikenali pengadu telah datang mengganggu mangsa pada Sabtu lalu.
Katanya, suspek dikatakan sering memerhatikan pengadu dan kerap kali mengganggu pengadu di tempat kerja.
“Kejadian ini telah bermula sejak awal tahun lalu dan masih berlaku sehingga kini. Ini menyebabkan emosi pengadu terganggu serta berasa bimbang akan keselamatan diri.
‘Difahamkan juga, suspek bekerja sebagai pencuci kereta berhampiran tempat pengadu bekerja,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Anbalagan berkata, pada April lalu, suspek dimaklumkan telah berpindah ke tempat kerja baharu.
Bagaimanapun kata beliau, suspek masih lagi datang ke tempat kerja pengadu dan mengganggunya.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan atas kesalahan mengendap dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Edisi 9