SOUTHAMPTON menolak bidaan pertama RM211.6 juta Liverpool bagi mendapatkan pemain tengah, Romeo Lavia.
Jumlah tersebut dilaporkan masih rendah berbanding permintaan The Saints yang mahukan sekurang-kurangnya RM302 juta bagi pemain berusia 19 tahun itu.
Bagaimanapun, kelab Anfield itu dijangka akan kembali dengan bidaan baharu dalam tempoh masa terdekat.
Chelsea turut berminat mendapatkan Lavia namun sehingga kini masih belum mengemukakan sebarang tawaran kerana memberi fokus kepada usaha mendapatkan Moises Caiceido dari Brighton.
The Reds memburu Lavia susulan kehilangan beberapa pemain tengah termasuk kapten, Jordan Henderson yang menyertai kelab Arab Saudi, Al Ettifaq.
The Blues pula turut mahu memperkuatkan jentera tengah selepas pemergian Mateo Kovacic, Mason Mount dan Ruben Loftus-Cheek yang berhijrah sementara Denis Zakaria kembali ke Juventus selepas tempoh pinjaman tamat.
Pada jendela perpindahan musim panas ini, Liverpool berjaya mengikat Alexis Mac Alister dari Brighton dan Dominik Szoboszlai dari RB Leipzig.
Namun, dengan pilihan yang terhad di jentera tengah, Jurgen Klopp pastinya mahu perpindahan Lavia diselesaikan seberapa segera sebelum bermula kempen Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea, Ogos ini. – Edisi 9

