PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kenaikan gaji penjawat awam akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet pada minggu depan.
Anwar berkata, ini kerana skim gaji penjawat awam sudah 10 tahun tidak dikaji semula sejak kali terakhir pada 2013.
“Saya percaya insya-Allah kita boleh, pertama menkaji semula skim perkhidmatan penjawat awam. Paling akhir KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) kata pada 2013, sudah 10 tahun tidak di semak semuka gaji.
“Jadi tahun ini, insya-Allah dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan saya akan pastikan kita buat keputusan kita adakan perjumpaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Sembilan hari ini.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, penjawat awam perlu mempamerkan kesungguhan dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Tapi pastikanlah supaya kerajaan kita kuat, boleh kita kerja bersungguh-sungguh dan jangan bagi orang-orang kacau bilau tumpuan kita untuk mengangkat martabat negeri dan dan negara ini,” katanya. – Edisi 9