HANYA dalam tempoh tujuh bulan pentadbiran, sebanyak 20 inisiatif sudah dilaksanakan Kerajaan Perpaduan untuk membantu mengurangkan beban ekonomi rakyat.
Menerusi satu video khas siri pertama laporan pencapaian Kerajaan Perpaduan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, merangkumkan senarai inisiatif berkenaan, membabitkan pengenalan beberapa inisiatif dan bantuan baharu serta menaikkan kadar bantuan sedia ada.
Menurut Fahmi, inisiatif berkenaan merangkumi kenaikan elaun sara hidup pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) daripada RM1,000 kepada RM1,100 sebulan; Bantuan Awal Persekolahan RM100 yang kini meningkat kepada RM150.
“Selain itu, e-dompet untuk pelajar dan belia meningkat daripada RM150 kepada RM200 serta Sumbangan Tunai Rahmah yang diberi sehingga RM2,500, berbanding RM1,800 bagi Bantuan Prihatin Rakyat sebelum ini,”katanya.
Selain itu, katanya, elaun 35,000 guru Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) RM1,000dan alhamdulillah telah dinaikkan kepada RM1,100 sebulan, dan kepada sumbangan imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir RM500 sekarang meningkat kepada RM600.
“Bantuan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara kerajaan turut dinaikkan, masing-masing kepada RM700 dan RM350 (pesara kerajaan), manakala bantuan musim tengkujuh kepada pekebun meningkat kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini,”katanya.
Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan katanya, turut memperkenalkan tiga bantuan baharu, iaitu Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM200 kepada pesawah, nelayan dan pekebun.
“Selain itu, buat kali pertama pesawah mendapat sumbangan tambahan RM250 hasil agihan sumbangan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) berjumlah RM60 juta.
“Sebelum ini, keuntungan BERNAS hanya untuk BERNAS namun kini di bawah Kerajaan Perpaduan, 30 peratus keuntungan BERNAS diberi terus kepada pesawah,ini tidak termasuk bantuan bulanan RM250 sebulan selama tiga bulan, serta subsidi dan insentif harga padi, baja padi, dan padi huma,” katanya.
Fahmi berkata, tiga inisiatif penurunan harga atau perkhidmatan percuma kepada rakyat turut dilaksanakan, antaranya harga internet jalur lebar serendah RM69 kepada B40 menerusi Pakej Perpaduan; rawatan percuma di klinik swasta terpilih; perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) percuma kepada pelajar dan orang kurang upaya (OKU); permohonan kemasukan ke universiti menerusi UPUOnline percuma,”katanya.
Di samping itu, katanya, tiga inisiatif baharu diperkenalkan bagi menurunkan harga barang, iaitu Menu Rahmah dengan harga makanan siap serendah RM5; Insurans dan Takaful Rahmah serendah RM5 sebulan; Jualan Madani dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi barangan mentah.
Pada masa sama, katanya, seramai 130,000 rakyat yang muflis diberi peluang kedua apabila mereka dibebaskan daripada status muflis.
“Itu antara inisiatif Kerajaan Perpaduan yang berjaya dicapai hanya dalam tujuh bulan pertama pentadbiran.
“Insya-Allah, Kerajaan Perpaduan akan terus memastikan rakyat Malaysia mendapat lebih banyak manfaat menerusi insiatif yang bakal diumumkan kelak,” katanya. – Edisi 9