Tuesday, July 21, 2026

Hubungan antara parti Kerajaan Perpaduan boleh keruh – UMNO!

UMNO akan menghantar nota bantahan keras terhadap semua kepimpinan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan...

Mesti Baca

HUBUNGAN antara parti dalam Kerajaan Perpaduan boleh menjadi keruh sekiranya isu kemasukan ahli UMNO ke dalam parti-parti lain dalam gabungan itu tidak ditangani.

Demikian amaran keras diberikan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO susulan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima kemasukan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam parti itu. 

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO akan menghantar nota bantahan keras terhadap semua kepimpinan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang bercadang atau mengizinkan kemasukan ahli-ahli daripada UMNO ke dalam parti masing-masing.

“Protes ini merupakan amaran keras, jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti-parti gabungan,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam ini.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sebelum ini Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja bertindak melepaskan keahliannya dalam UMNO kerana mahu menyertai PKR.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu dilapor telah diterima sebagai ahli PKR Cabang Ampang baru-baru ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO bersyukur dan menyambut baik keputusan sebulat suara ketiga-tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berkaitan Titah Adendum agar disegerakan pendengarannya di Mahkamah Tinggi.

“Keputusan ini memberikan kelegaan terhadap usaha-usaha untuk mendapatkan keadilan buat Najib dan akan terus beriltizam untuk menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan pembelaan Najib,” katanya.

Mengenai isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik, beliau berkata, UMNO memandang serius kesalahan berulang dalam isu tersebut yang merupakan maruah dan lambang kedaulatan Negara. 

“Tindakan tegas dan keras termasuk pendakwaan mesti dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini tanpa mengira apa jua alasan sebagaimana peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

UMNO turut menzahirkan rasa amat dukacita dan cukup terhiris dengan tragedi kematian seorang remaja, Zara Qairina Mahathir. 

Kata Asyraf Wajdi, pengendalian kes tersebut yang dilihat amat lemah bahkan tidak mematuhi prosedur dan SOP biasa sebagaimana perakuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat mengecewakan.

Sehubungan itu, UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara untuk Inkues penuh dijalankan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.

“Moga-moga proses inkues ini kelak akan dikendalikan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang bagi mendapatkan keadilan tuntas buat arwah Zara Qairina,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan