Tuesday, July 21, 2026

Peraturan UCEM perlu dilaksana segera bagi bendung ‘spam’

Negara-negara lain seperti Singapura melalui Spam Control Act 2007 dan United Kingdom menerusi Privacy and Electronic Communications Regulations (PECR) 2003 telah lama melaksanakannya.

Mesti Baca

PERATURAN berhubung Pesanan Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) perlu diperkenalkan segera di negara ini bagi membendung masalah pesanan komersial tidak diingini atau spam yang semakin sukar dikawal.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Mumtaz Aini Alivi berkata, langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan rundingan awam selama dua minggu ke arah merangka peraturan itu adalah tepat pada masanya.

“Dengan adanya peraturan khusus, masalah spam dapat dikawal dengan lebih berkesan. Ia mampu melindungi pengguna daripada gangguan privasi dan risiko penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

“Negara-negara lain seperti Singapura melalui Spam Control Act 2007 dan United Kingdom menerusi Privacy and Electronic Communications Regulations (PECR) 2003 telah lama melaksanakannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai keberkesanan UCEM, beliau berkata, peraturan itu akan mewujudkan struktur kawal selia jelas dengan garis panduan teknikal, termasuk menentukan jenis mesej yang dilarang, format pengecualian dan persetujuan pengguna.

DR MUMTAZ AINI ALIVI

“Dengan adanya kuasa penguatkuasaan dan penalti yang tinggi, hasrat pihak tidak bertanggungjawab untuk menghantar spam dapat disekat. Hak privasi pengguna juga lebih terjamin,” ujarnya.

Ditanya mengenai kawalan kendiri yang dilaksanakan platform media sosial seperti TikTok, Mumtaz Aini menegaskan langkah itu hanya melibatkan platform terbabit dan tidak menyeluruh.

Spam bergerak merentasi semua platform. UCEM akan mewujudkan undang-undang seragam dan terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, sekali gus memberi kuasa kepada MCMC untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau menolak dakwaan UCEM menyekat kebebasan rakyat, sebaliknya menegaskan ia bertujuan melindungi orang ramai daripada penipuan digital, iklan palsu dan mesej komersial yang mengganggu.

“Kita jangan cepat membuat kesimpulan. Langkah ini bukan untuk menyekat pendapat, tetapi mengawal mesej komersial supaya lebih beretika.

“Kerajaan hanya mahu memastikan keselamatan digital dan privasi rakyat terpelihara,” jelasnya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan