LANGKAH Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang merangka satu peraturan bagi Pesanan Elektronik Digital Tidak Diingini (UCEM) atau dipanggil ‘spam’ amat tepat bagi melindungi pengguna digital di negara ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr Saaidal Razalli Azzuhri berkata, UCEM penting untuk melindungi pengguna daripada menerima mesej tidak diingini dan penipuan melalui e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi mesej dan platform digital lain.
“Ia langkah baik MCMC supaya pemasaran digital lebih bertanggungjawab dan ruang digital selamat daripada spam dan penipuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, peraturan UCEM akan beri kuasa undang-undang untuk menyekar ‘spam’ serta mengambil tindakan terhadap penghantar tanpa kebenaran, melindungi pengguna daripada penipuan, kecurian data dan gangguan digital.
Saaidal Razalli berkata, walaupun sesetengah platform digital sudah memili sistem kawalan spam sendiri namun peraturan UCEM perlu untuk wujudkan standard undang-undang seragam yang meliputi semua saluran komunikasi, bukan bergantung pada polisi syarikat.

Ditanya sama ada peraturan baharu itu akan menyekat kebebasan komunikasi, beliau berkata, perkara itu tidak berlaku sebaliknya UCEM sebagai pelindung hak rakyat daripada penyebar spam.
“UCEM bukan sekatan kebebasan, tapi perlindungan hak rakyat daripada spammer. Kerajaan pastikan kawalan seimbang demi keselamatan dan kesejahteraan digital,” katanya.
MCMC telah memulakan rundingan awam selama dua minggu mulai hari ini berkenaan cadangan kerangka peraturan UCEM tersebut.
Katanya, pelaksanaan peraturan itu selaras dengan Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang diperkenalkan melalui pindaan perundangan yang diwartakan pada Februari lalu.
Menurut MCMC, kerangka peraturan itu bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, menggalakkan amalan pemasaran digital yang bertanggungjawab serta memupuk ekosistem digital yang lebih selamat dan dipercayai.
“Selaras dengan peruntukan baharu ini, MCMC sedang merangka perundangan subsidiari bagi mewujudkan struktur kawal selia yang jelas, utuh dan berkesan untuk menangani peningkatan penghantaran UCEM,” kata suruhanjaya itu hari ini. — Edisi 9

