Sunday, July 19, 2026

NGO Empati gesa kerajaan lebih tegas tangani isu buli

Mangsa sering mengalami kemurungan, keresahan, trauma berpanjangan (PTSD) malah ada yang cuba menamatkan nyawa sendiri akibat penderaan emosi dan fizikal.

Mesti Baca

KERAJAAN digesa berhenti memandang remeh isu buli yang semakin membarah dalam masyarakat, sebaliknya mengambil tindakan tegas dan berani bagi membanterasnya secara menyeluruh.

Sehubungan itu, Presiden Kelab Advokasi Pulih Mental (NGO Empati), Syahida Zulkarnain menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai usaha membetulkan naratif masyarakat terhadap isu itu dengan penuh hikmah dan ketelusan, khususnya susulan tragedi menyayat hati yang menimpa remaja, Zara Qairina.

Syahida berkata, buli bukan sekadar masalah disiplin sekolah tetapi satu krisis kesihatan mental yang serius. 

Ini kerana, menurut beliau, mangsa sering mengalami kemurungan, keresahan, trauma berpanjangan (PTSD) malah ada yang cuba menamatkan nyawa sendiri akibat penderaan emosi dan fizikal.

“Buli berlaku bukan hanya di sekolah, tetapi juga di alam pekerjaan. Setiap penghinaan, ancaman dan sentuhan kasar membina beban emosi yang menjadi ‘barah’ dalam jiwa,” tegas beliau dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, bagi membanteras budaya buli, NGO Empati menggesa agar satu sistem aduan mesra mangsa yang cepat, telus dan selamat daripada pembalasan dapat diwujudkan.

Pada masa sama, beliau juga mencadangkan agar kaunselor-kaunselor sekolah dilatih untuk mengesan sifat agresif dalam kalangan pelajar.

Selain itu beliau juga menggesa akan menghapuskan stigma terhadap budaya melaporkan salah laku termasuk buli.

NGO itu turut kesal terhadap kegagalan kerajaan mengawal naratif kes Zara di media sosial sehingga membenarkan berita palsu dan spekulasi berleluasa, menjejaskan keluarga mangsa serta masyarakat umum.

Sehubungan itu, katanya, NGO Empati menuntut kerajaan mengumumkan maklumat secara telus dan konsisten sebagai bukti komitmen serta empati kepada mangsa.

“Zara mungkin telah pergi, tetapi setiap anak selepas ini adalah ‘Zara’ yang masih boleh diselamatkan,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan