SADIO Mane meledak dua gol ketika membantu Senegal dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Brazil 4-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Lisbon awal pagi tadi.
Ini merupakan kekalahan ketiga juara dunia lima kali itu dalam empat perlawanan dan kali pertama tewas lebih dua gol sejak kali terakhir tumpas 2-0 kepada Chile pada 2015.
Brazil juga tidak pernah melepaskan empat gol atau lebih dalam satu perlawanan sejak dimalukan Jerman dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2014.
Namun, aksi di Estadio Jose Alvalde itu, Brazil berada di depan seawal minit ke-11 dan kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti beberapa minit kemudian.
Namun, selepas merujuk video bantuan pengadil (VAR), pengadil menarik balik keputusan tersebut.
Senegal bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-22 apabila melakukan rembatan kencang menerjah gawang Brazil yang dikawal penjaga gol Manchester City, Ederson.
Gol penyamaan itu menambah keyakinan Senegal apabila meledak dua gol dalam tempoh tiga minit, pertama, menerusi gol sendiri pertahanan Brazil yang tertampan bola tandukan Ismaila Sarr.
Senegal memperoleh gol ketiga menerusi percubaan lencong Mane yang terus menuju ke penjuru kanan gawang Brazil untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Marquinhos menebus semula kesilapannya sebelum ini apabila menjaringkan gol kedua skuad Samba.
Namun, Mane melengkapkan kemenangan bergaya Senegal apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Nicolas Jackson dikasari Ederson dalam kawasan penalti. – Edisi 9