31.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

Penanaman padi 5 musim dalam 2 tahun dipertimbang

Mesti Baca

KERAJAAN mempertimbangkan inisiatif penanaman padi negara secara lima musim dalam tempoh dua tahun sebagai antara usaha menambah baik ekosistem agromakanan negara.

Perkara itu antara diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) Kali ke-3 Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Turut dipertimbangkan dalam mesyuarat itu ialah usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menjamin ketersediaan bekalan makanan dan cadangan penetapan sistem penternakan secara tertutup bagi pengurusan ladang yang produktif dan selamat.

“Sebanyak tiga kertas kerja diteliti bagi menambah baik ekosistem agromakanan negara khususnya dalam mencapai sasaran keterjaminan makanan yang mencukupi,” menurut Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini. 

Mesyuarat JKSMN yang berperanan merangka dasar dan strategi sekuriti makanan lebih holistik dan mampan itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri Kabinet berkaitan serta pegawai kanan kerajaan.

Advertisements

JKSMN turut memberi tumpuan memperkukuh sekuriti makanan negara mengambil kira faktor yang memberi kesan kepada pertanian negara seperti perubahan iklim, kekangan sumber, konflik geopolitik, kemudahsampaian makanan, jurang pendapatan dan amalan pemakanan.

“Faktor sosioekonomi seperti pendapatan penduduk, kos logistik dan harga makanan yang mempengaruhi kebolehcapaian kepada makanan yang cukup, selamat dan bernutrisi perlu diberi perhatian khusus dalam mencatur langkah menangani ketidaktentuan sekuriti makanan,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan defisit perdagangan dengan memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi variasi benih penanaman dalam negara.

KPKM juga berusaha meningkatkan prestasi eksport produk hiliran berasaskan pertanian dan merancakkan aktiviti pengeluaran makanan secara domestik.

“Selain itu, Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang bermula pada 15 hingga 30 April 2023 selama 16 hari, dan inisiatif Menu Rahmah telah dapat membantu mengurangkan impak kenaikan harga pada April 2023,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Zii Jia tamatkan kemarau gelaran, juarai Terbuka Thailand

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menamatkann kemarau gelaran selama tujuh bulan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka...

Lagi Artikel Berkaitan