26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Agong, Permaisuri berangkat ke istiadat mengarak panji-panji

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan hari ini berkenan berangkat ke istiadat perbarisan mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya. 

Turut berangkat sama ke istiadat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Agong adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sempena istiadat itu, sebanyak lima Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong diarak kontinjen-kontinjen dari tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) di samping Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Istiadat itu melibatkan 131 pegawai dan 1,087 anggota lain-lain pangkat (LLP) dengan jumlah keseluruhan tersebut, seramai 57 pegawai dan 862 anggota LLP diketuai Leftenan Kolonel Mohd. Azamri Abdullah.

Istiadat berkenaan turut diserikan penglibatan lima pesawat ATM, tiga helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Superlynx yang membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Bendera Jalur Gemilang.

Bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM diketuai oleh Mejar Mohd. Husni Mohd. Tarmizi TUDM dari No. 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan bersama dengan Tembakan Kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Leftenan Kolonel Mohammad Asri Che Wil.

Advertisements

Keseluruhan perbarisan pada pagi tadi diiringi gabungan Pancaragam Pusat Angkatan Tentera Malaysia di bawah pimpinan Leftenan Kolonel (DOM) Muhamad Nor Azizan Yahaya.

Istiadat ini diadakan tiga kali dalam tempoh lima tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan. 

Tahun pertama pemerintahan Seri Paduka Baginda, istiadat ini dilaksanakan pada 2019. 

Justeru, dapat dirumuskan bahawa betapa pentingnya Panji-Panji ini untuk dimuliakan dan apabila diarak, akan menjadi tanda penghormatan warga ATM dalam menzahirkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Pada masa yang sama, dalam keadaan aman, apabila Panji-Panji dibawa berarak dalam sesuatu istiadat, selain dari dapat membangkitkan semangat keperwiraan, secara tidak langsung ia juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya menjaga maruah negara melalui simbol Panji-Panji ini. 

Selain itu, perarakan ini juga sebagai tanda jaminan di atas kesanggupan setiap warga perkhidmatan, rejimen mahupun pasukan untuk rela berkorban demi mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara serta nilai-nilai rakyat Malaysia.

Turut hadir Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Sri Hajah Ruziah Mohd. Tahir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan