PERDANA Menteri menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mendakwa Pulau Pinang milik Kedah sebagai gelojoh kuasa.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tersebut perlu dihentikan kerana melanggar prinsip Perlembagaan dan tidak pernah dibangkitkan mana-mana pemimpin sebelum ini.
Justeru itu, Perdana Menteri menyerahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah itu.
“Apakah kerana nak gelojoh kuasa pilihan raya, kita korbankan prinsip Perlembagaan dan timbulkan huru-hara? Ini yang menyebabkan timbul permasalahan.
“Kita sudah merdeka lebih enam dekad, parti-parti memerintah sama ada UMNO-BN, Pas-PH (Perikatan Harapan), sekarang Pas-PN.
“Tidak pernah dibangkitkan (isu itu) melainkan seorang ketua yang tidak bertanggungjawab yang sanggup melanggar prinsip Perlembagaan,” kata Anwar pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tindakan ke atas kenyataan Muhammad Sanusi yang menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang.
Ini bagi membolehkan negeri itu dikembalikan kepada Kedah, kenyataan yang telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk negeri itu serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, status Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Fasal (3) Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan juga telah menjamin kedudukan Perlembagaan Negeri termasuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
Justeru Anwar berkata, isu itu tidak seharusnya dibangkitkan lebih-lebih lagi Malaysia ketika ini telah mencapai kemerdekaan dan merupakan sebuah negara berdaulat. – Edisi 9

