26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

BN mesti menang semua kerusi diamanahkan pada PRN

Mesti Baca

BARISAN Nasional (BN) perlu menang di semua kerusi yang diperuntukkan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, tidak lama lagi.

Itu sasaran yang perlu dicapai kerana menurut Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, PRN perlu menjadi landasan kebangkitan semula BN, selepas kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 dan PRU15.

Beliau berkata, realiti politik tanah air ketika ini ialah BN adalah sebahagian Kerajaan Perpaduan.

“Kita tidak dominan, kita harus akui…(jadi) tidak ada makna kalau kita merasa kuat tapi keberhasilannya (kemenangan) kurang.

“Dua kali kita kecundang… kita harus sedar undi kita pada PRU pun sekitar 23 peratus dan kerusi pun cuma sekitar 11 peratus… jadi kita harus bangkit,”katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Skuad Sayang 3K, sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Advertisements

Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ahmad Zahid berkata, kini tiba masanya BN untuk bangkit dan bergerak ke hadapan, dengan mencari titik persamaan dan parti itu harus memperbetulkan kelemahan mereka terdahulu, yang terlalu melayani titik perbezaan.

“Kita harus melihat kebersamaan yang ada antara BN dan PH (Pakatan Harapan), macam agenda Melayu, agenda Islam, Raja-Raja dan Bahasa Melayu, mereka (PH) tidak pernah usik malah mereka juga hormati, dan juga dalam Perlembagaan UMNO, perkara itu wajib dipertahankan.

“Jadi saya tidak nampak ada permasalahan, kononnya kita gadai maruah dan sebagainya…. (malah) kita sering dikonotasi bekerjasama dengan DAP, hakikatnya kita ada MCA dan MIC di dalam BN,”katanya.

Tambahnya, PAS sendiri pernah beberapa kali bekerjasama atau ‘kahwin mutaah’ dengan DAP, namun ketika ini BN pula yang ditohmah gadai agama Islam dan Melayu.

Enam negeri yang akan menghadapi PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

PAPTI rangka pelbagai program sambut jubli emas tahun depan

PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) merangka pelbagai program  bagi menyambut Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 penubuhannya tahun depan. Presiden...

Lagi Artikel Berkaitan