SEBANYAK 13 buah kontena yang mengandungi bahan mudah terbakar jenis aerosol musnah dalam kebakaran dekat Northport, Jalan Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang, Selangor, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.27 pagi.
Katanya, seramai 50 anggota dan pegawai bomba dikerah ke lokasi kejadian bersama 14 jentera melibatkan sembilan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP).
“BBP yang terlibat dalam operasi itu adalah Pelabuhan Klang, Andalas, Sungai Pinang, Kota Raja, Kota Anggerik, Shah Alam, Petaling Jaya, Cyberjaya dan Serdang.
“Sebaik anggota tiba di lokasi mendapati, 13 unit kontena daripada 333 unit dengan berkeluasan 10 x 40 kaki persegi dan 20 x 10 kaki persegi terbakar dan anggaran kemusnahan 80 peratus.
“Firebreak sedang dilakukan di lokasi menggunakan kaedah pemadaman dan pengasingan kontena yang belum terbakar menggunakan stacker dan kren jenis RTG,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kejadian tidak melibatkan mangsa dan kebakaran berjaya di kawal pada pukul 11.40 pagi.
“Kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.20 petang dan kerja-kerja overhaul masih dilakukan di lokasi terbabit. – Edisi 9